Sunday, November 20, 2011
Najib: Malaysia boleh capai 6 peratus KDNK
Malaysia boleh mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak lima hingga enam peratus menjelang akhir tahun ini menerusi perancangan kerajaan yang rapi, dasar yang mantap serta pelaksanaan yang berkesan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Najib, yang juga Presiden Umno itu berkata, tiga ramuan penting kerajaan itu terbukti berkesan dalam membangunkan negara selama ini.
"Kita dapat membuktikan bahawa kita mampu membawa kejayaan kepada negara. Kejayaan itu adalah kerana Barisan Nasional (BN) adalah parti yang sudah diuji dan berjaya membuktikan kemampuan kita dalam membangunkan negara," kata beiau.
"Kejayaan ini amat bermakna sekali kerana kita sudah membuat perancangan rapi. Suku ketiga kita capai 5.8 peratus (Insya Allah), kemungkinan lima hingga enam peratus menjelang akhir 2011," kata beliau pada majlis perasmian penutup Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011, di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib, yang juga Presiden BN itu, juga berkata pertumbuhan suku ketiga itu adalah bukti yang dapat menolak tohmahan pihak pembangkang mengenai kebenaran pertumbuhan itu.
"Kalau ada yang mengatakan pertumbuhan 5.8 peratus ini tak mungkin, pembangkang mengatakan tidak betul dan tersasar tapi kita membuktikan bahawa pada suku ketiga, kita mendapat 5.8 peratus," kata beliau.
Perdana Menteri, yang baru saja pulang dari Sidang Kemuncak ASEAN di Bali, Indonesia, berkata Malaysia bertuah kerana berada di bawah kategori negara yang masih mengalami pertumbuhan ekonomi dan mampu menyediakan pekerjaan kepada rakyatnya.
Beliau berkata, ini adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat yang berada di bawah kategori negara yang mengalami pertumbuhan tetapi tidak mampu menyediakan pekerjaan serta Itali dan Greece yang berada di bawah kategori negara yang mengalami penguncupan dari segi ekonomi dan mempunyai banyak masalah.
Najib berkata, menerusi karnival pekerjaan seperti ini, rakyat bukan saja berpeluang mencari pekerjaan baru bagi lepasan graduan dan yang masih bekerja tetapi juga menyediakan landasan bagi mereka yang mahu mencari sumber kewangan bagi memulakan perniagaan.
Karnival kerjaya yang bermula sejak Mac, sehingga kini berjaya menawarkan sebanyak 85,000 tawaran pekerjaan dan 24,000 sudah diisi setakat ini.
- Bernama
Labels:
ekonomi,
Malaysian Politik,
Najib
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment