Pages

Saturday, September 17, 2011

Parti berhaluan kiri menang pilihan raya umum Denmark


CIK HELLE THORNING-SCHMIDT: Bakal jadi Perdana Menteri wanita pertama Denmark. -- Foto REUTERS

Warta KerajaanRakyat l COPENHAGEN: Pakatan parti berhaluan kiri Denmark memenangi pilihan raya umum negara itu kelmarin, dan ini memberi laluan kepada pelantikan perdana menteri wanita pertama negara itu.

'Kami akhirnya berjaya,' kata ketua pembangkang, Cik Helle Thorning-Schmidt, 44 tahun, yang meraikan kemenangan itu bersama penyokongnya.

'Ya... kami mencatat sejarah hari ini,' tambah pemimpin Parti Sosial Demokrat, yang bersiap sedia untuk dilantik sebagai perdana menteri itu.

Menurut kiraan awal, pakatan 'Red Bloc' berhaluan kiri pimpinan Cik Thorning-Schmidt itu menang tipis 92 kerusi daripada 179 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.


Pakatan sayap tengah-kiri, pimpinan Perdana Menteri sekarang, Encik Lars Loekke Rasmussen, yang memerintah sejak 10 tahun lalu, hanya menang 86 kerusi.

Encik Rasmussen, dari Parti Liberal, sebelum itu berkata beliau telah menghubungi Cik Thorning-Schmidt untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan partinya itu.

'Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan memberitahunya bahawa beliau mempunyai peluang membentuk kerajaan yang baru,' katanya.

'Petang ini (semalam) saya akan menyerahkan kunci pejabat Perdana Menteri kepada Helle Thorning-Schmidt.'Helle, anda jagalah kunci ini kerana anda hanya meminjamnya,' kata Encik Rasmussen.

Pilihan raya kali ini disifatkan paling sengit dengan dipengaruhi kemarahan rakyat berhubung ekonomi negara yang merudum.

Semasa berkempen, Cik Thorning-Schmidt antara lain berjanji akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan menaikkan cukai ke atas golongan kaya.

Denmark merupakan negara Eropah terbaru yang mengundi menyingkirkan pucuk pimpinannya ekoran krisis ekonomi.Sebelum ini Ireland, Britain, Portugal, Finland dan Belanda memperlihatkan perubahan pemerintahan.

Selepas ini, pemerintah Sepanyol yang dipimpin Parti Sosialis dijangka kalah dalam pilihan raya umum pada 20 November ini.

Denmark tidak berdepan dengan krisis ekonomi seteruk negara Eropah yang lain memandangkan ia tidak menggunakan mata wang euro.

Ini bermakna negara itu tidak perlu menyumbang dana bagi menyelamatkan negara Eropah lain yang dibelenggu hutang, seperti Greece. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini