Pages

Wednesday, September 14, 2011

Jalan buntu akibat tuntutan bertindih


PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mendakwa rundingan pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13 membabitkan komponen itu di beberapa negeri menemui jalan buntu.
“Kedah, Perak, Johor, Pahang dan Sarawak mahu lebih masa untuk menyelesaikan masalah pembahagian kerusi,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
PKR, PAS dan DAP, tambah beliau sepatutnya menyelesaikan rundingan pembahagian kerusi PRU ke 13 pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, kata Saifuddin tempoh masa yang diberikan itu hanyalah panduan supaya rundingan disiapkan dalam waktu yang ditetapkan.

Satu sumber lain mendakwa antara faktor kegagalan itu ialah ‘perebutan’ beberapa kerusi ahli parlimen PKR yang melompat parti.
Sebelum ini, PAS dan DAP dikatakan berminat untuk meletakkan calon mereka bertanding di kerusi berkenaan.
Setiausaha PKR Pahang, Razali Alias ketika dihubungi berkata, berlaku perebutan kerusi di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (Dun) membabitkan ketiga-tiga parti di negeri pantai timur itu.
“Perkara ini berlaku kerana masing-masing mahu lebih banyak kerusi untuk bertanding serta mahu mendapatkan kerusi yang selamat.
Rundingan terakhir 

“Kami harap rundingan terakhir yang akan diadakan tidak lama lagi dapat menyelesaikan semua isu yang tertangguh itu,” katanya.
Razali menegaskan PKR Pahang mahu bertanding lapan kerusi Parlimen dan 20 Dun dalam PRU akan datang.
Pahang mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dun.
Manakala Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula memberitahu sebahagian besar rundingan pembahagian kerusi di kalangan Pakatan Rakyat sudah selesai.
“Saya kira cuma 10 peratus yang belum diselesaikan kerana berlaku pertindihan tuntutan ke atas kerusi berkenaan,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, jika Pakatan Rakyat peringkat negeri gagal menyelesaikan rundingan pembahagian kerusi itu, ia akan dibincangkan di peringkat pusat.
Beliau juga menegaskan ada negeri yang belum menghantar senarai kerusi yang telah dibincangkan kepada ibu pejabat parti masing- masing.
“Bagi PAS, kita mahu negeri yang telah selesai berunding dengan PKR dan DAP menghantar senarai pembahagian kerusi itu sebelum akhir bulan ini,” katanya.

No comments:

Posting Terkini