Pages

Saturday, September 10, 2011

Berbilion ringgit diluluskan di Parlimen dalam masa dua jam



Masalah ekonomi negara tidak akan selesai dengan hanya dua jam perbahasan Dewan Rakyat bagi setiap portfolio kementerian kerana ia melibatkan peruntukan berbilion ringgit wang rakyat.

Wakil Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat Liew Chin Tong berkata cara untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemat dan cermat adalah melalui penubuhan sekurang-kurangnya tujuh jawatankuasa.

“Jawatankuasa Pakatan Rakyat mahu supaya dalam perbahasan Bajet, setiap kementerian mempunyai satu jawatankuasa yang dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen dari semua parti bagi membincangkan Bajet di peringkat jawatankuasa,” katanya.

Pakatan Rakyat mencadangkan tujuh jawatankuasa yang meliputi kumpulan-kumpulan kementerian, iaitu:


1.         Hal Ehwal Negara dan Antarabangsa
•           Jabatan Perdana Menteri
•           Kementerian Luar Negeri
•           Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
•           Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

2.         Ekonomi dan Kewangan
•           Kementerian Kewangan
•           Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
•           Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
•           Kementerian Pelancongan

3.         Keselamatan
•           Kementerian Pertahanan
•           Kementerian Dalam Negeri

4.         Pendidikan, Bakat dan Pekerjaan
•           Kementerian Pelajaran
•           Kementerian Pengajian Tinggi
•           Kementerian Sumber Manusia

5.         Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar
•           Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
•           Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
•           Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

6.         Infrastruktur, Pengurusan Sumber dan Alam Sekitar
•           Kementerian Kerja Raya
•           Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
•           Kemneterian Sains, Teknologi dan Inovasi
•           Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

7.         Kesejahteraan Masyarakat
•           Kementerian Pengangkutan
•           Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
•           Kementerian Kesihatan
•           Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat
•           Kementerian Belia dan Sukan

Dengan menubuhkan tujuh jawatankuasa yang mempunyai 20 Ahli Parlimen setiap satu, Dewan Rakyat mampu membincangkan secara berasingan tetapi serentak selama 18 hari yang diperuntukkan untuk perbahasan Bajet.

Pada masa ini, kerajaan Barisan Nasional mengamalkan sistem di mana keseluruhan Dewan dijadikan jawatankuasa dan ini menghadkan masa dan peluang perbahasan yang terperinci (di peringkat jawatankuasa yang perlu menyentuh peruntukan kewangan tanpa membangkitkan soal-soal lain).

Liew yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera menjelaskan, apa yang biasanya berlaku sewaktu perbahasan Bajet di Dewan Rakyat ialah hanya tiga Ahli Parlimen, masing-masing dari pihak kerajaan dan pembangkang, dibenarkan bercakap dalam masa beberapa minit, ketika dalam peringkat jawatankuasa.

“Ini bererti selepas beberapa jam sahaja, pihak kerajaan boleh meluluskan berbilion ringgit dalam masa yang amat singkat sahaja tanpa sebarang perincian. Ini sering berlaku dalam banyak portfolio kementerian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menjelaskan lagi cadangan itu, wakil PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, penubuhan jawatankuasa bagi membahaskan Bajet itu dapat menggunakan sepenuhnya kepakaran semua Ahli Parlimen dalam bidang masing-masing.

Beliau turut mencadangkan supaya setiap Ahli Parlimen diberi peruntukan RM10,000 setiap bulan untuk menggajikan kumpulan penyelidik masing-masing.

Cadangan memberi peruntukan itu juga bertujuan meningkatkan taraf dan imej Ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang sebenar, dan bukannya sekadar celupar mulut dan mahu menunjukkan ego di Parlimen.

Wakil PKR Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata para pemimpin BN perlu memberi tumpuan kepada Bajet kerana ia adalah amanah kepada rakyat dan perlu memastikan pemantauan serius terhadap peruntukan kewangan kepada kementerian. – Roketkini

No comments:

Posting Terkini