Pages

Thursday, April 21, 2011

Mengaku hamil: Kris Dayanti dikecam kumpulan agama



Warta Kerajaan Rakyat - JAKARTA: Pengakuan penyanyi Kris Dayanti (gambar) bahawa dirinya hamil empat bulan telah mendapat kecaman daripada kumpulan agama setempat.

Kris Dayanti baru menikah pada 20 Mac lalu dengan Encik Raul Lemos dan mengadakan resepsi perkahwinan mereka di Hotel Mulia, Jakarta Selatan, lima hari kemudian.


Pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI), Encik Habib Selon, berkata perbuatan Kris Dayanti itu lebih buruk daripada mendedahkan aurat dan pergaulan bebas.

'Dalam Islam ada dua hukum. Pertama, jika beliau hamil empat bulan sebelum bernikah, maka anaknya dipanggil anak zina dan ibu bapanya boleh direjam,' ujar Encik Habib ketika dihubungi.

Menurutnya, jika kehamilan itu sudah berusia lebih daripada enam bulan, maka anak yang bakal lahir itu dikatakan anak haram.

'Jadi, sekiranya beliau membuat pengakuan seperti itu, maka nilailah sendiri,' tambahnya yang menentang keras penzinaan dan pornografi.

Kelmarin, Kris Dayanti mengaku beliau sudah hamil empat bulan dalam sebuah tabloid wanita.

Pengakuan itu dibuat kerana beliau tidak mahu kehamilannya akan mendatangkan masalah kelak.

Bekas suami Kris Dayanti, Anang Hermansyah, tidak mahu memberi komen ketika diajukan isu itu kepadanya.

'Soal terkejut atau tidak, rasanya tidak wajar bagi saya memberi komen apa-apa,' kata Anang ketika dihubungi.

Penyanyi yang bercerai dengan Kris Dayanti pada November 2009 itu memberitahu beliau mendapat tahu mengenai berita itu daripada media.

Anang menambah, beliau turut berbahagia dengan kehamilan bekas isterinya itu.

'Soal anak itu khabar yang menggembirakan dan kehamilan itu kan baik,' katanya lagi.

Kris Dayanti juga dikatakan tidak menghiraukan tanggapan masyarakat mengenai isu kehamilannya.

Menurutnya, lebih baik beliau mengakui hal itu daripada timbul cerita yang lebih buruk tentang dirinya kelak.

'Benda ini (kehamilan) sudah terjadi. Kalau apa yang diberikan Allah ini tidak saya akui, nanti timbul pula cerita yang tidak betul. Kononnya, saya melakukan pengguguran,' kata Kris Dayanti. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini