Pages

Tuesday, April 19, 2011

Masa terbaik kerajaan iktiraf undang-undang syariah


KUALA LUMPUR: Perbuatan fitnah yang semakin berleluasa dalam masyarakat dan arus politik negara menyebabkan rakyat, terutama umat Islam menjadi semakin keliru bila berhadapan situasi seumpama ini.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, ketika ini adalah waktu terbaik bagi kerajaan mengambil peluang untuk mengiktiraf sistem perundangan Islam, sebagai penyelesaian kepada kemelut yang melanda umat Islam.

“Kecenderungan ini harus dimanfaatkan kerajaan kerana rakyat mahu tahu bagaimana Islam menangani isu fitnah,”
“Sebagai bekas pelajar yang mendalami undang- undang Islam, ini masa terbaik kerajaan memanfaatkan isu ini dengan menonjolkan kehebatan dan kekuatan undang- undang Islam sebagai penyelesai kepada pelbagai masalah yang melanda negara ketika ini,” katanya yang juga seorang peguam.
Yusmadi berkata demikian ketika mengiringi Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin memberi keterangan qazaf terhadap Trio Datuk T, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini.
Menurutnya, cadangan yang sama pernah dilontar tokoh perundangan di negara ini, Tan Sri Ahmad Ibrahim yang mengangkat dan mengiktiraf peranan undang-undang syariah melalui penggubalan Artikel 121 perlembagaan persekutuan Fasal (1A).
“Kesannya, Mahkamah Sivil sehingga kini tiada kuasa untuk mencampuri urusan yang melibatkan mahkamah Syariah dan kita berharap kes fitnah yang sedang  berlaku kini dimanfaatkan kerajaan Malaysia untuk Mahkamah Syariah menonjolkan kehebatan Undang-undang Islam itu,” tegasnya.
Yusmadi yang merupakan graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa dan bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, berkata, beberapa sumber boleh dirujuk berhubung perspektif Islam mengenai bahaya fitnah.
Ia termasuk buku bertajuk ‘Qazaf menjawab Fitnah’ kelolaan ABIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM) dan Wada Pencerdasan Umat (WADAH).
“Antara tokoh yang memberi pandangan dalam buku ini ialah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sebelum ini oleh Kerajaan Malaysia.
“Sebagai tokoh, pandangan  Dr Yusuf al-Qaradawi harus dibaca dan difahami bukan sahaja kerajaan tetapi juga majoriti warga Muslim di negara ini,” katanya lagi.

No comments:

Posting Terkini