Pages

Wednesday, April 6, 2011

Lebih tiga juta gelen air beradioaktif dari loji Fukushima dibuang ke Lautan Pasifik


TOKYO: Para pekerja telah mengepam lebih tiga juta gelen air yang dicemari sisa radioaktif daripada loji nuklear Jepun yang rosak akibat tsunami ke Lautan Pasifik semalam.

Langkah tersebut diambil bagi memberi ruang simpanan air beradioaktif lebih tinggi yang menghalang usaha menstabilkan reaktor-reaktor nuklear itu.

Kerajaan Jepun juga meminta Russia membekalkan sebuah kapal untuk digunakan bagi membuang sisa cairan radioaktif.

Ini dilakukan sedang ia cuba menghapuskan pencemaran kompleks nuklear Fukushima Dai-ichi itu, yang sistem penyejukannya rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu.

Loji itu juga merancang membawa masuk satu kemudahan simpanan terapung.


Namun, pilihan simpanan lain itu lambat tiba, oleh itu, pengepaman dimulakan lewat kelmarin. Usaha mengeluarkan kebanyakan air beradiokatif lebih rendah itu mungkin mengambil masa selama dua hari.

'Langkah itu bagi menghalang air beradioaktif lebih tinggi daripada tersebar. Tetapi kami telah membuang air beradioaktif dan kami amat menyesalinya,' kata Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yukio Edano, dalam satu sidang akhbar semalam.

Bahan radioaktif cepat larut di dalam lautan dan pegawai kerajaan berkata pembuangan itu tidak harus menjejas keselamatan makanan laut di kawasan itu.

Sejak malapetaka di Jepun itu, air dengan paras radioaktif berbeza-beza terkumpul di sekitar loji tersebut. Air itu merosakkan sistem dalam loji dan risiko radiasi menghambat usaha menghidupkan kembali sistem penyejukan bagi menstabilkan bahang bahan api.

Air beradioaktif lebih rendah yang sengaja dibuang ke laut itu masih mengandungi radiasi 500 kali melebihi had dibenarkan.

Pekerja perlukan tempat selamat untuk menyimpan air beradioaktif tinggi itu.

Kebanyakan air beradioaktif rendah terkumpul di dalam bangunan simpanan sisa nuklear. Namun, bangunan itu bukan untuk menyimpan cecair.

Oleh kerana bangunan itu tidak bocor, ia akan digunakan untuk menyimpan air beradioaktif tinggi.

Sementara itu, jurucakap bagi agensi nuklear Rostom Russia, Encik Sergei Novikov, memberitahu wartawan bahawa Jepun meminta Russia menghantar sebuah kapal yang digunakan bagi menghentikan penggunaan kapal selam nuklear.

Beliau berkata Moscow sedang menunggu jawapan bagi beberapa persoalan sebelum memenuhi permintaan tersebut.Kapal itu, yang dinamakan Landysh, boleh membantu membuang cecair sisa nuklear daripada kapal-kapal selam yang dihentikan penggunaan asalnya itu. -- AP.

Every time I have some moment on a seashore, or in the mountains, or sometimes in a quiet forest, I think this is why the environment has to be preserved.

No comments:

Posting Terkini