Monday, March 14, 2011
Tsunami: Angka kematian dijangka naik mendadak
Warta Kerajaan Rakyat - TAGAJO (Jepun): Jumlah kematian dalam kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun besar kemungkinan melebihi 10,000 di satu wilayah sahaja, kata seorang pegawai semalam, sedang berjuta-juta orang kini tanpa bekalan air bersih, kuasa elektrik dan makanan di sepanjang perairan timur laut yang binasa.
Walaupun kerajaan Jepun telah menggandakan bilangan askar bagi operasi bantuan itu kepada 100,000, ia kelihatan semakin kalah dengan apa yang akan menjadi satu bencana tiga kali ganda.
Gempa dan tsunami Jumaat lalu turut merosakkan dua reaktor nuklear di loji-loji berhampiran perairan, dan sekurang-kurangnya satu mungkin mengalami peleburan.
Ketua polis bagi wilayah Miyagi memberitahu satu perhimpunan pegawai bantuan bahawa beliau menganggarkan lebih 10,000 orang maut, kata seorang jurucakap polis, Encik Go Sugawara, kepada agensi berita AP.
Miyagi mempunyai penduduk seramai 2.3 juta dan merupakan antara tiga wilayah yang paling teruk terjejas dalam bencana Jumaat lalu.
Hanya 379 orang telah disahkan mati di Miyagi.
'Mula-mula, saya risaukan gempa bumi, kini saya bimbang akan terjadinya radiasi pula. Saya tinggal berhampiran loji itu, jadi saya datang ke sini untuk melihat jika semua selamat. Saya diuji negatif tetapi saya tidak tahu apa hendak saya lakukan selepas ini,' kata Encik Kenji Koshiba, seorang pekerja binaan, yang berada di sebuah pusat kecemasan di bandar Koriyama berhampiran loji nuklear di Fukushima.
Menurut para pegawai, sekurang-kurangnya 1,000 orang maut, termasuk 200 mayat yang ditemui di sepanjang perairan, dan 678 masih hilang berikutan gempa dan tsunami itu.
Badan Kajian Geologi Amerika Syarikat mengganggarkan gempa itu berukuran 8.9 di skala Richter, tetapi pegawai Jepun menaikkannya kepada 9.0 semalam.
Apa pun, ia masih merupakan gempa terkuat yang pernah melanda Jepun.
Seramai 100,000 askar itu, yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Encik Naoto Kan, adalah dua kali ganda jumlah yang sudah pun memulakan operasi bantuan itu, selepas tahap kemusnahan kedua-dua bencana itu diketahui dengan lebih jelas.
Menteri Pertahanan, Encik Toshimi Kitazawa, berkata 100,000 askar itu, atau 40 peratus daripada keseluruhan pasukan pertahanan negara itu, akan ditugaskan sepenuhnya dalam dua hari.
'Masih banyak orang yang tidak dapat dihubungi dan masih menantikan bantuan,' katanya.
Komen beliau itu datang di tengah-tengah amaran bahawa angka kematian mungkin naik mendadak.
Tawaran bantuan datang mencurah dari seluruh pelosok dunia termasuk China, yang merupakan seteru Jepun sejak dahulu.
China mengutuskan ucapan takziah daripada Perdana Menteri, Encik Wen Jiabao, dan Menteri Luar, Encik Yang Jiechi, selain menghantar satu pasukan penyelamat seramai 15 pegawai.
Menteri Luar Jepun berkata 69 negara dan lima pertubuhan bantuan antarabangsa telah pun menawarkan bantuan sejauh ini.
Ini termasuk New Zealand, yang hanya bulan lalu dilanda gempa bumi di Christchurch.
Satu pasukan bantuan 66 orang dari Jepun yang telah membantu di Christchurch, telah bergegas pulang ke tanah air.Pasukan mencari dan menyelamat dan anjing-anjing penghidu tiba dari Jerman dan Switzerland.
Pasukan-pasukan juga telah dihantar dari Britain dan Perancis.
Jepun telah meminta bantuan pesawat pengangkut Amerika Syarikat yang bernama Ronald Reagan bagi mengisi minyak bagi helikopter dan kenderaan tentera Jepun lain untuk dihantar ke tempat-tempat yang terjejas.
Australia, Korea Selatan dan Singapura juga telah mengikrarkan pasukan bantuan dan anjing penghidu.
Australia telah menawarkan hospital dan pasukan pengenalan identiti mangsa bencana, kata Menteri Luar, Encik Kevin Rudd. -- AFP, AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment