Pages

Monday, March 21, 2011

Rakyat muflis dahulu sebelum negara muflis

Warta Kerajaan - PETALING JAYA: Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mendakwa rakyat akan terlebih dahulu jatuh muflis sebelum negara ini muflis menjelang tahun 2020 jika usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat tidak dilakukan segera.
“Ini disebabkan kenaikan harga barangan keperluan harian, harga rumah, pinjaman sewa beli kereta, pinjaman peribadi, kad kredit yang semakin meningkat, sedangkan pendapatan tidak berubah,” katanya.
Beliau memberitahu ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga barangan hingga membebankan rakyat dan kegagalan kerajaan menambah pendapatan dan menaikkan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, kesusahan rakyat biasa berpunca dari masalah gaji yang tidak naik sejajar dengan kenaikan kadar inflasi.
Bank Dunia katanya, melaporkan secara purata kenaikan gaji rakyat Malaysia hanyalah sebanyak 2.6% dalam tempoh 10 tahun (dari tahun 2000 hingga 2010) sedangkan kadar inflasi ialah 3.2% dan ini bermakna kuasa beli pengguna sudah terhakis.
Leong berkata, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada penghujung tahun 2010, hutang isi rumah telah melebihi RM577 bilion.
Dari jumlah itu katanya, sebanyak RM225 bilion adalah untuk pinjaman perumahan, RM118 bilion untuk pinjaman sewa beli kereta dan RM22 bilion untuk pinjaman peribadi.
Ujar beliau, “kini nisbah hutang isi rumah dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 80%, yang tertinggi di Asia selepas Jepun.
“Kita perlu ingat bahawa pendapatan per kapita di Jepun ialah sebanyak US$32,700 atau RM8,000 sebulan. Sebaliknya pendapatan purata rakyat Malaysia ialah RM2,000 sebulan dan 40% mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan,” katanya.
Pinjaman yang besar
Beliau berkata, “mengenai hutang isi rumah, kita mendapati bahawa rakyat Malaysia terpaksa mengambil pinjaman yang besar untuk membayar harga yang tinggi atas barangan keperluan harian, keperluan tempat tinggal dan pengangkutan.
“Hutang isi rumah yang tinggi bermakna sebahagian besar dari pendapatan rakyat Malaysia digunakan untuk membayar balik pinjaman dan tidak ada lebihan wang untuk membeli barang keperluan lain,” jelas beliau.
Katanya, “harga tinggi kereta import adalah disebabkan kerajaan mengenakan tiga jenis cukai, iaitu cukai import, cukai eksais dan cukai jualan.
“Bagi kereta tempatan, pengguna harus membayar sebanyak 70% cukai (dalam bentuk 60% cukai eksais dan 10% cukai jualan). Ini bermakna bagi kereta kecil seperti Perodua yang dijual dengan harga RM40,000, rakyat terpaksa membayar cukai RM16,500 kepada kerajaan.
“Akibatnya rakyat terpaksa meminjam sewa beli kereta yang tinggi dengan tempoh bayaran yang panjang sehingga sembilan tahun.
“Oleh yang demikian, Dasar Automotif Nasional harus dikaji semula bagi mengurangkan struktur cukai yang tinggi supaya harga kereta dapat dikurangkan supaya tidak membebankan rakyat.
Menurut beliau lagi, harga rumah yang tinggi dewasa ini menyebabkan bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan menjadi komponen pinjaman paling besar oleh rakyat.
“Purata harga rumah di Kuala Lumpur ialah RM390,000 iaitu enam kali ganda purata pendapatan isi rumah manakala di Pulau Pinang pula, purata harga rumah ialah RM540,000 atau lapan kali ganda purata pendapatan,” terang beliau.
Keadaan ini katanya, memaksa rakyat mengambil pinjaman yang lebih besar dan pada kebiasaannya adalah di luar dari kemampuan mereka yang sebenar.
Ujar beliau, “‘Skim Perumahan Pertama Saya yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, walaupun memudahkan golongan muda membuat pinjaman, sebenarnya membebankan mereka dengan harga rumah yang melambong tinggi, terutama di Lembah Klang.”

No comments:

Posting Terkini