Pages

Friday, March 18, 2011

MB tamat kontrak Timb. Pengurus Besar Yayasan S’gor

SHAH ALAM: Akibat salah urus tadbir kewangan dan tidak prihatin dengan prosedur, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor pada 18 Februari lalu ditamatkan kontraknya 24 jam berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu diputuskan sebulat suara oleh Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor pada 17 Februari lalu terhadap Mohd Sharifuldin Sulaiman.

Manakala satu surat yang mengarahkan agar Sharifuddin ditamatkan kontraknya ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada tarikh yang sama dengan penamatan kontrak Sharifuddin.
“Perbelanjaan yang tidak telus menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta malah terdapat perbelanjaan yang selesai dibayar kepada pengurus acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.

“Pengurus Besar juga meluluskan elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada Ahli Mesyuarat,” kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Khalid juga sebelum ini mengarahkan Sharifuldin mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuatkuasa serta merta pada 15 November tahun lalu sehingga siasatan selesai dijalankan.
Namun laporan semakan Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mendapati Sharifuldin tidak menghormati arahan bercuti.
Malah beliau masih menghadiri satu mesyuarat syarikat pada 3 Disember tahun lalu yang turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kepada pegawai dalam kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Pengurus Besar perlu tegas dalam isu disiplin, tatatertib dan integriti tanpa mengira jawatan.
Beliau sedia maklum arahan bercuti juga adalah arahan Menteri Besar sebagai Pengerusi Lembaga.
Kelemahan integriti
“Keengganan mematuhi arahan Menteri Besar juga menunjukkan kelemahan integriti Pengurus Besar sendiri.
“Keputusan Kerajaan Negeri melantik pegawai pengurusan yang enggan mematuhi peraturan dan sistem prosedur akan menyebabkan Yayasan Selangor hilang moral sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri,” ujar laporan itu.
Justeru, Khalid berkata pihaknya pada 5 Januari lalu mengeluarkan satu surat tunjuk sebab kepada Sharifuldin bagi menjawab setiap enkuiri atas nasihat Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.
“Kerajaan Selangor akan sentiasa bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak syarikat.
“Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor,” kata Khalid.
Sebelum ini, Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah melaksanakan audit terhadap Yayasan Selangor pada 29 November sehingga 1 Disember 2010.
Laporan audit itu siap dan diserahkan kepada kerajaan Selangor seterusnya diserahkan kepada Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor bersama laporan anak syarikatnya yang lain, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 17 Disember tahun lalu.
Yayasan Selangor disiasat selepas menerima aduan berhubung perbelanjaan Jamuan Makan Perdana sempena ulang tahunnya ke-40 yang mencecah sehingga RM300,000.
Berikutan itu juga, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan keberangkatan ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya.

No comments:

Posting Terkini