SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menubuhkan tabung khas bagi membantu pekerja beragama Islam yang ingin meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.
“Kita akan bekerjasama dengan LZS untuk menubuhkan tabung khas ini,” kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, beliau telah meminta ahli Exco negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Hajjah Rodziah Ismail untuk menubuhkan sebuah sekretariat untuk menyusun pertemuan dengan LZS untuk membincangkan isu ini.
Khalid berkata, kerajaaan negeri prihatin dengan perbincangan mengenai pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.
“Kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat-tempat seperti itu berbuat demikian atas sebab ekonomi. Oleh itu, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini,” tambahnya.
Beliau berkata, kami menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memelihara umat Islam untuk mencari rezeki yang halal.
“Pada masa yang sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat.
“Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan Enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan,” katanya.
No comments:
Post a Comment