Pages

Tuesday, January 18, 2011

Lapor polis terhadap akhbar ‘Selangor Terkini’

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor semalam membuat laporan polis berhubung penerbitan akhbar “Selangor Terkini” yang didapati menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim melalui pegawai kanan kerajaan negeri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam jam 12 tengah hari semalam.
Menurut pegawai media di pejabat Menteri Besar, Tuan Nazuri Tuan Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu sambil berkata arahan dikeluarkan Khalid yang mahu polis menyiasat hal tersebut.

Katanya, akhbar itu dianggap sebagai satu percubaan mencemarkan imej Selangor dan mengelirukan rakyat (pembaca) kerana kerajaan negeri memiliki akhbar rasmi tersendiri, iaitu “Selangor Kini”.
“Tindakan menerbit akhbar menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran adalah salah. Maka pihak kerajaan negeri membuat laporan untuk polis menyiasat perkara ini.
“Beliau (Khalid) telah mengetahui hal tersebut sejak minggu lepas apabila seorang salah seorang pegawai kanan menerima akhbar berkenaan. Setakat ini kerajaan negeri tidak mengetahui siapa yang menerbit, malah kami tidak tahu kewujudan akhbar ini,” kata Tuan Nazuri.
Menurut Tuan Nazuri, kandungan akhbar itu juga bersifat jahat dengan bertindak ‘menghentam’ pentadbiran kerajaan negeri dalam setiap laporan penerbitannya.
“Kami percaya akhbar Selangor Terkini ini sudah diedarkan secara meluas kepada orang ramai,” katanya.

No comments:

Posting Terkini