Pages

Tuesday, January 18, 2011

SPDP letak calon berpotensi menang

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hanya akan meletakkan calon yang menepati tahap dan kriteria yang boleh membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri akan datang.
Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan Ikom berkata, parti itu juga memberi jaminan akan melakukan penilaian serius dalam memilih calon yang benar-benar mendapat sokongan penuh daripada rakyat keseluruhannya.
Bagaimanapun beliau cukup yakin semua penyandang kerusi yang diwakili oleh SPDP memenuhi kriteria dan standard untuk memastikan BN mendapat kemenangan besar pada pilihan raya negeri akan datang.

“Kita sedang menunggu laporan penuh mengenai status serta populariti calon SPDP sebelum keputusan muktamat calon yang akan diletakkan bertanding dalam pilihan raya akan datang diputuskan.
“Namun saya yakin penyandang (kerusi SPDP) yang sedia ada masih berkelayakan dan diterima rakyat,” katanya apabila diminta
mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mahu calon boleh menang dipilih mewakili BN di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi itu ditemui di pejabatnya pada majlis penyerahan geran bantuan kepada Pertubuhan Bukan Kerjaaan (NGO) itu mengakui bahawa pemilihan calon bersandar kepada kedudukan dalam parti serta populariti tidak cukup menjamin kemenangan parti.
“Apa yang pasti BN tidak mahu kehilangan sebarang kerusi pada pilihan raya akan datang kerana tersilap calon,” katanya.
Najib dalam ucapan Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) baru-baru ini bertegas akan menolak calon yang berpotensi termasuk dari segi populariti dan kedudukan dalam parti bagi memastikan hanya mereka yang boleh membawa kemenangan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
“Saya memohon berilah saya calon-calon yang boleh memenangi kerusi untuk BN. Saya tidak mahu calon yang hanya  berdasarkan kedudukan dalam parti dan saya tidak peduli sama ada mereka tua, baru atau pertengahan umur asalkan mereka boleh menang,” kata Pengerusi BN berkenaan.
Dalam pada itu, pada pilihan raya negeri 2006 SPDP menang semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang  dipertandingnya yang menyaksikan BN Sarawak menang 63 daripada 71 kerusi Dun.

No comments:

Posting Terkini