Pages

Tuesday, January 18, 2011

Isu arak: PKR mahu dialog

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu dialog antara pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerajaan negeri, ulama’ serta badan bukan kerajaan (NGO) dilakukan segera dalam menangani isu larangan umat Islam bekerja di premis menjual alkohol.
Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nor Manuty berkata, dialog itu haruslah dianjurkan secara terancang, berjadual sekaligus dapat meyakinkan rakyat berbilang kaum dan agama tentang komitmen kerajaan Selangor menyelesaikan kemelut ini.

“Dialog merupakan langkah terbaik yang perlu diambil semua pihak bagi mengelakkan masalah permusuhan antara agama dalam jangka masa panjang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata PKR menyokong penuh kenyataan rasmi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam bahawa tidak ada peraturan melarang orang Islam bekerja di premis berkenaan dan hanya ada garis panduan.
Sebaliknya, Khalid meletakkan isu ini dibawah Jais yang mempunyai kuasa dibawah Enakmen Kesalahan Syariah 1995 dan bukannya dalam bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Izzah juga menggesa Jais turut serta dalam dialog tersebut supaya seluruh rakyat Selangor tidak keliru dan faham tentang garis panduan yang ditetapkan.
“Jika ada larangan bagi pekerja Islam di premis menjual alkohol, bagaimana pula dengan penganut Islam yang bekerja di kilang-kilang memproses alkohol dan sebagainya?
Jais perlu jelaskan
“Ini tanggungjawab yang perlu diperjelaskan Jais kepada rakyat, bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada PBT dan kerajaan negeri sahaja,” katanya.
Sementara itu, pengarah strategi PKR Rafizi Ramli pula menjelaskan terdapat perbezaan besar antara garis panduan dan  undang-undang.
Merujuk kepada isu yang sama, Rafizi berkata wujud satu proses politik dimana undang-undang perlu menjadi satu enakmen setelah dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun).
Manakala garis panduan hanya satu pendapat sedia ada tanpa mendapat rujukan pelbagai pihak mengenai semua perkara, termasuk kesannya terhadap pendapatan ekonomi individu itu sendiri dan juga kesan sosial terhadap masyarakat keseluruhan.
“Jika Jais progresif, mereka boleh mengeluarkan satu garis panduan yang perlu dipatuhi premis, tetapi malangnya Jais tiada satu undang-undnag penguatkuasaan untuk melaksanakannya,” katanya.

Enggan berdebat, Najib hina rakyat

Sementara itu, Dr Muhammad Nor turut mengulas mengenai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sehingga kini masih membisu untuk menerima pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai 100 Hari Janji Pakatan Rakyat.
Beliau menganggap keengganan Najib untuk bersemuka dengan Anwar dan membincangkan mengenai isu ini merupakan satu penghinaan kepada rakyat dan terus membiarkan rakyat keliru agar agenda Barisan Nasional (BN) menguasai negara dan meneruskan segala kepincangan dapat diteruskan.
“Najib tidak perlu terus mengemukakan pelbagai helah dan alasan atau pun mengutus pihak lain yang tidak berkenaan sebagai ganti.
“Kita tuntut beliau segera menerima seruan Anwar untuk mengadakan perbicangan terbuka seperti yang dicadangkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan PKR tidak akan berhenti mendesak agar debat terbuka diadakan selagi Najib tidak memberikan respon positif terhadap pelawaan itu.

No comments:

Posting Terkini