Tuesday, January 18, 2011
KRISIS POLITIK: Bantahan tetap berterusan
KRISIS POLITIK DI TUNISIA
TUNIS: Pasukan keselamatan Tunisia menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan tembakan bagi melerai bantahan yang mendesak agar parti mantan presiden melepaskan kuasa.
Perdana Menteri Tunisia, Encik Mohammed Ghannouchi, pula sedang bersiap untuk mendedahkan pemerintah campuran berikutan tergulingnya Presiden Zine al-Abidine Ben Ali.
Namun bantahan-bantahan terbaru ini mungkin menandakan bahawa barisan baru ini juga tidak popular.Sekitar seribu orang berkumpul di kawasan utama ibu kota bagi membantah parti Bersatu bagi Perlembagaan dan Demokrasi (RCD) yang memerintah.
Seorang penunjuk perasaan di Bourguiba Avenue, Encik Monji Amari, berkata: 'Kami sudah muak dengan parti yang berkuasa ini. Kami tidak mahu lihat mereka lagi. Bersama-sama dengan Ben Ali, mereka bertanggungjawab atas apa yang berlaku sekarang.'
Pemerintah sementara Tunisia bersiap-siap bagi mendedahkan pemerintah perpaduan baru semalam selepas anggota tentera menentang penyokong Encik Ben Ali dekat istana presiden.
Seorang ketua pembangkang memberitahu AFP pemerintah itu akan diumumkan semalam dan ia tidak termasuk parti-parti yang rapat dengan presiden tersingkir itu, yang melarikan diri ke Arab Saudi Jumaat lalu berikutan gelombang bantahan ke atas rejimnya.
'Terdapat kata sepakat untuk tidak memasukkan parti- parti propemerintah,' kata ketua Parti Demokratik Progresif (PDP), Encik Maya Jribi.
Encik Ghannouchi berikrar tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang mengancam keselamatan negara. Beliau juga berkata pemerintah baru negeri Afrika Utara itu 'mungkin diumumkan semalam'.
Beliau telah berunding dengan ketua parti-parti pembangkang utama Tunisia mengenai pembentukan sebuah pemerintah perpaduan nasional bagi mengisi kekosongan setelah peninggalan Encik Ben Ali, setelah berkuasa selama 23 tahun.
Dua parti yang diharam di bawah pemerintahan Encik Ben Ali, parti Komunis dan parti Islamis Ennahdha, dikecualikan dalam perbincangan itu.
Ketua Ennahdha, Encik Rached Ghannouchi, yang dalam buangan di London, memberitahu AFP sebelum ini beliau berhasrat balik ke Tunisia.
Penyingkiran Encik Ben Ali mengejutkan Dunia Arab kerana beliau ketua pertama yang dibuang negara ekoran bantahan jalanan.
Sementara itu, seorang jurugambar keturunan Perancis-Jerman daripada agensi EPA terkena balingan tin gas pemedih mata di kepala ketika bantahan-bantahan di tengah Tunis.
Encik Lucas Mebrouk Dolega, 32 tahun, pada mulanya dilaporkan meninggal dunia tetapi seorang pegawai di konsulat Perancis berkata beliau dalam keadaan 'kritikal tetapi stabil'. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment