Pages

Tuesday, January 18, 2011

Kadar kesuburan Singapura di paras terendah

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini



KADAR jumlah kesuburan (TFR) di Singapura terus berkurangan, dengan anggaran awal menunjukkan ia sekarang di paras terendah - 1.16 kelahiran bagi setiap pasangan sepanjang tahun lalu, berbanding 1.22 pada 2009.

Pada masa yang sama, jumlah warga asing yang diterima menjadi Penduduk Tetap (PR) negara ini berkurangan dengan ketara tahun lalu - 29,265 orang, berbanding 79,200 pada 2008 dan 59,460 pada 2009.

Ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong Kan Seng, semasa berucap di Persidangan 2011 Perspektif Singapura di Pusat Persidangan Raffles City, semalam.


Namun beliau berkata 'pemerintah menyaksikan peningkatan dari segi mutu (permohonan) Penduduk Tetap baru'.

'Disebabkan kita berjaya menarik warga baru bermutu, jumlah kerakyatan baru yang diluluskan kekal mantap seramai 19,928 orang pada 2009 dan 18,758 orang pada 2010,' kata Encik Wong, yang mengetuai Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NTPD).

Dalam persidangan itu Encik Wong membentangkan strategi jangka panjang pemerintah dalam menguruskan pertumbuhan jumlah penduduk negara ini dan mengimbangi keperluan keadaan setempat, antaranya dengan mengetatkan kriteria ke atas pemohon status PR dan meningkatkan usaha menyepadukan warga baru dengan penduduk tempatan.

Tiga prinsip utama menjadi sandaran NTPD dalam pelaksanaan strategi itu bagi mencapai profil rakyat berkekalan untuk negara ini, kata Encik Wong.

Prinsip pertama ialah dengan mengekalkan kelainan dan keunikan Singapura.

Kedua, dengan memastikan pertumbuhan dan perubahan memanfaatkan rakyat.

Ketiga, memastikan rakyat dan negara ini tangkas dan bersedia membuat penyesuaian di sepanjang perjalanannya.Usaha-usaha ini dilakukan sedang rakyat tempatan menyuarakan rasa ketidakselesaan mereka mengenai kebanjiran warga asing di negara ini.

Menyentuh tentang isu warga tua dan kadar kelahiran yang rendah, Encik Wong, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional, berkata langkah mengatasinya ialah dengan menarik masuk warga asing ke negara ini.'Halangan utama yang kita hadapi dalam mencapai jumlah penduduk yang mantap ialah kadar kesuburan rendah. Lebih 30 tahun kita tidak dapat melahirkan bayi yang cukup bagi menggantikan kita.

'Keadaan yang dihadapi sukar tetapi kami (pemerintah) belum mahu menyerah kalah. Kami akan terus menyokong keputusan yang diambil pasangan untuk berumah tangga dan mempunyai anak dan berusaha mewujudkan satu sekitaran yang prokeluarga.

'Tetapi, untuk bersikap realistik, kita mesti menerima hakikat bahawa meningkatkan kesuburan memerlukan masa. Bagi jangka masa yang boleh dilihat, kita perlu menarik bakat asing untuk menambahkan jumlah penduduk kita, untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan untuk menangani kesan penuaan,' kata Encik Wong.

No comments:

Posting Terkini