Tuesday, January 11, 2011
Israel Roboh hotel di Baitulmakdis
BAITULMAKDIS: Israel semalam menolak kecaman daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) ekoran tindakannya merobohkan sebuah kompleks hotel di timur Baitulmakdis bagi membina petempatan Yahudi.
Kelmarin, pihak berkuasa mula merobohkan sebahagian bekas Hotel Shepherd bagi digantikan dengan 20 unit pangsapuri mewah untuk rakyat Israel.
'Tindakan memanggil Baitulmakdis sebagai kawasan petempatan merupakan satu salah tafsiran dan menghina sejarah bandar ini,' kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Yigal Palmor.
Menurut beliau, hotel itu terletak di tanah swasta dan pembangunannya 'tidak ada kena- mengena dengan diplomasi' antarabangsa.
Kelulusan akhir bagi pembinaan pangsapuri baru itu diberikan pada Mac lalu, ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengadakan rundingan di Washington.
Projek pangsapuri itu dibiayai oleh jutawan Yahudi Amerika, Encik Irving Moskowitz.
Bangunan Hotel Shepherd yang sudah usang itu pernah menjadi kediaman Mufti Baitulmakdis, Haj Amin al-Husseini, yang menjadi terkenal kerana hubungannya dengan pemimpin Nazi, Adolf Hitler.
Walaupun majoriti penduduk timur Baitulmakdis adalah Palestin, semakin ramai pendatang haram Yahudi mencerobohi kawasan kediaman di situ, sekali gus mencetuskan pergaduhan dengan penduduk Arab.
Kelmarin, ketua dasar luar EU, Cik Catherine Ashton, berkata pembinaan petempatan baru itu adalah tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa dan menjejas rundingan damai Timur Tengah.
'Lagipun, timur Baitulmakdis merupakan sebahagian daripada wilayah Palestin yang kini diduduki; EU tidak mengiktiraf pengilhakan oleh Israel,' katanya.
Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, pula menyifatkan tindakan merobohkan hotel itu sebagai 'satu perkembangan yang membimbangkan'.
Israel menakluki timur Baitulmakdis dalam perang 1967 dan kemudian mengilhaknya tanpa diiktiraf oleh masyarakat dunia.
Israel menyifatkan keseluruhan wilayah Baitulmakdis sebagai ibu kotanya. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment