LABIS: Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ng Lum Yong menyertai MCA hari ini.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengumumkan perkara itu berkata MCA mengalu-alukan hasrat Ng untuk menyertai parti tersebut dan percaya penyertaannya dibuat kerana beliau menyokong agenda perjuangan parti berkenaan.
“Sebenarnya selepas pemilihan parti pada tahun lepas, sehingga bulan Disember tahun lalu, MCA telah terima 17,370 ahli baru. Kita rasa bangga kerana daripada jumlah itu, 60 peratus merupakan golongan belia dan mereka yang berumur bawah 40 tahun,” katanya pada sidang media di bangunan MCA Labis di sini.
Beliau berkata MCA bersikap terbuka dan sesiapa sahaja yang berketurunan Tionghua boleh menjadi anggota parti itu.
Dr Chua berkata penyertaan Ng dalam MCA bakal menghantar satu isyarat yang jelas bahawa parti pembangkang semakin kehilangan pengaruh selepas kejayaan
mereka pada pilihan raya umum 2008.
mereka pada pilihan raya umum 2008.
“Kita tidak tawarkan apa-apa jawatan kepada Ng. Beliau hanya diterima sebagai ahli biasa. Kami bukan macam parti lain yang menawarkan pelbagai jawatan untuk mana-mana ahli politik menyertai parti mereka,” katanya.
Sementara itu Ng berkata keputusannya untuk keluar daripada PKR adalah kerana hilang kepercayaan dengan agenda dan matlamat perjuangan parti yang sentiasa berubah-ubah di bawah pimpinan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sejak penubuhan PKR 12 tahun lalu, parti itu mempunyai pelbagai agenda termasuk reformasi, agenda perubahan, Malaysia Baru, Selamatkan Malaysia dan Reformasi ke Putrajaya yang dilihat mengelirukan dan tiada matlamat yang tetap.
“PKR sudah tidak ada agenda perjuangan yang tetap. Agenda perjuangan yang mereka ada adalah agenda perjuangan seorang yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana Anwar Ibrahim itu hebat. Di dunia ini tidak ada satu parti, pemimpinnya tidak perlu dipilih dalam proses pemilihan. Dia (pegang jawatan ketua) seumur hidup.
“Dia sebut dia ketua umum, tapi dia bukan ketua umum, dia ketua ketuanan PKR, kerana semua proses pemilihan apa jawatan pun mesti dipersetujui oleh dia dan Majlis Tertinggi parti tidak ada kuasa,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Ezam Mohd Nor berkata tindakan Ng untuk keluar daripada PKR membuktikan bahawa hari ini hampir semua 30 anggota pertama yang juga merupakan pengasas parti itu termasuk dirinya sudah keluar akibat sudah tidak percaya kepada parti.
“Hampir 90 peratus pengasas parti Keadilan itu sudah tidak ada dan antara pengasas parti Keadilan adalah saudara Ng Lum Yong, yang merupakan pemimpin utama masyarakat Cina yang bersama kita mengasaskan PKR.
“Jadi saya mahu beritahu kepada pengundi-pengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Tenang ini kalau pengasas-pengasas parti pun sudah tidak percaya parti, anda yang tidak tahu tentang parti (PKR) baik jangan dengarlah,” katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment