Pages

Wednesday, December 8, 2010

Thailand rancang minta Amerika mengekstradisi Thaksin


BANGKOK: Thailand semalam berkata ia bercadang meminta Amerika Syarikat mengekstradisi mantan perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra, selepas beliau diundang memberi keterangan kepada satu panel hak asasi Amerika.

Encik Thaksin diundang Suruhanjaya mengenai Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (CSCE) bercakap mengenai 'Baju Merah' dan bantahan antikerajaan di Bangkok dalam satu forum berjudul Thailand: Democracy, Governance and Human Rights (Thailand: Demokrasi, Pemerintahan dan Hak Asasi) di Washington pada 16 Disember ini.


Encik Neil Simon, Jurucakap Suruhanjaya Helsinki, sebuah badan pemantau hak asasi Amerika, mengesahkan kelmarin bahawa acara itu akan diadakan pada 16 Disember.

Dalam sepucuk surat kepada Encik Thaksin, panel itu berkata 'operasi menumpaskan bantahan politik menarik minat kami'.

'Saya mengalu-alukan hakikat pihak berkuasa Amerika mengakui bahawa kekejaman hak asasi yang berlaku pada April dan Mei tahun ini patut disiasat secara bebas,' kata Encik Thaksin sebagai reaksi terhadap undangan tersebut.
Ketua Polis Thailand, Jeneral Wichien Potphosri, semalam berkata pihaknya sedang menjejaki di mana Encik Thaksin akan memohon visa untuk ke Amerika.

'Apabila semua maklumat sudah jelas, kami akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk memohon ekstradisi terhadap Encik Thaksin,' katanya.

Perkembangan itu berlaku selepas pengedar senjata rakyat Russia, Viktor Bout, diekstradisi dari Thailand ke Amerika bulan lepas.

Terdapat spekulasi bahawa Encik Thaksin diumpan supaya pergi ke Washington supaya beliau boleh ditahan dan diekstradisi ke Thailand sebagai tukar ganti bagi ekstradisi Bout.

Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, semalam menafikan terdapat satu perjanjian serupa itu dengan Amerika.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan, Encik Panitan Wattanayagorn, berkata pihak berkuasa di Bangkok memang mahu Encik Thaksin diekstradisi.

Tetapi beliau tidak pasti Encik Thaksin akan pergi ke Amerika. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini