Pages

Wednesday, December 29, 2010

SMM tidak terlibat sebagai calon pilihan raya

hilman-serius-1-200x200
Oleh Fazy Sahir
PETALING JAYA: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memutuskan untuk tidak terlibat dengan sebuah gerakan bernama Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) dalam menyediakan calon daripada kalangan mahasiswa bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) kelak.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi SMM Hilman Idham, mereka sepakat dan berpendirian bahawa pertandingan tiga penjuru bakal merugikan perjuangan dalam memulihkan demokrasi, hak asasi dan menegakkan keadilan untuk membela rakyat.

Malah katanya, 30 calon dari MCLM itu juga dianggap tidak berupaya untuk mencapai konsensus bersama dalam hal-hal penting melibatkan negara, agama, demokrasi serta ekonomi.
"Ada cadangan supaya mahasiswa turut mengambil bahagian secara terus bersama barisan calon-calon MCLM dalam PRU akan datang.
"SMM menyedari hakikat bahawa makna politik itu bukan hanya sebuah perlawanan. Kompromi, desak dan gesa juga adalah sebahagian daripada politik. Justeru SMM tidak semestinya ikut serta dalam perlawanan dalam PRU.
Kesejahteraan semua
"Bagi Mahasiswa, bertanding dalam pilihanraya bukanlah suatu keutamaan. Apa yang penting ialah menyedarkan rakyat tentang hak mereka, menyuarakan hasrat dan kepentingan masyarakat untuk kesejahteraan semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, walaupun fungsi mahasiswa sebagai suara ketiga namun tidak semestinya mereka perlu bertanding dalam pilihanraya.
Namun menurut Hilman, peranan mahasiswa jauh lebih penting dari sekadar menjadi penggubal undang-undang di parlimen tetapi menjadi suara yang terkecuali dari struktur politik dan percaturan kuasa.
Hilman berkata demikian sambil merujuk kenyataan rakan seangkatannya yang juga Pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin, pada 22 Disember lalu yang sanggup menyediakan calon dari kalangan mahasiswa.
Hilman yang dihubungi FMT kemudian beliau menjelaskan, kenyataan Shazni itu hanya bersifat peribadi dan bukan mewakili keseluruhan mahasiswa.
"Apa yang saya katakan adalah merujuk kenyataan saudara Shazni ketika forum umum yang diadakan pada 22 Disember lalu. Kami mahasiswa sudah berbincang bahawa kami tidak akan menjadi calon bersama dalam MCLM," katanya kepada FMT.

No comments:

Posting Terkini