Pages

Saturday, December 11, 2010

Sepanyol larang pakai purdah dan burqa di 130 lokasi


BARCELONA: Sebuah bandar di utara Sepanyol kelmarin menguatkuasakan larangan pemakaian purdah dan burqa di bangunan-bangunan majlis bandaran.

Bandar Lleida, yang mempunyai 120,000 penduduk, meluluskan larangan itu pada Julai lalu.

Pemakaian burqa dan purdah dilarang di 130 lokasi, termasuk pusat sivik dan kolam renang.

Undang-undang berkaitan larangan itu merupakan yang pertama dikuatkuasakan di Sepanyol.


'Saya percaya burqa dan purdah, serta pakaian serupa yang menutup seluruh muka, bertentangan dengan dasar hak sama rata di antara wanita dengan lelaki. Ia juga satu serangan ke atas maruah wanita.

'Saya percaya hak sama rata ini merupakan satu perkara yang diperjuangkan oleh masyarakat kami sejak beberapa tahun lalu dan tidak ada sebab, sama ada agama atau budaya, yang boleh menentang prinsip asas ini,' kata Datuk Bandar Lleida, Encik Angel Ros.

Undang-undang tersebut melarang pemakaian 'purdah atau pakaian-pakaian lain yang menutup muka' yang menyukarkan identiti seseorang itu dikenal pasti di 'bangunan dan prasarana majlis bandaran'.Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga 600 euro ($1,041).

Pemakaian purdah dan burqa telah mencetuskan perdebatan hangat di banyak negara Eropah.

Pada Oktober lalu, Perancis turut meluluskan larangan pemakaian purdah dan burqa di tempat-tempat awam.Sebahagian besar daripada 47 juta penduduk Sepanyol merupakan penganut Roman Katolik.

Jumlah pendatang yang menetap di Sepanyol telah meningkat daripada setengah juta pada 1996 kepada 5.7 juta tahun lalu. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini