Pages

Saturday, December 11, 2010

Maut terjerumus dalam kawah dodol


TUMPAT (Kelantan): Hasrat seorang pengusaha dodol memenuhi permintaan yang melonjak ketika cuti sekolah bertukar tragedi apabila beliau terjerumus ke dalam kawah panas dodol yang dimasaknya petang kelmarin.

Dalam kejadian sekitar 5 petang di Kampung Laut, mangsa, Wan Zainab Wan Ali, 62 tahun, meninggal dunia ketika dikejarkan untuk rawatan ke Hospital Tumpat, sejurus dikeluarkan daripada kawah dodol oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tumpat.


Mangsa meninggal dalam keadaan melecur teruk pada kedua-dua kaki dan muka, selain tangan kanannya remuk akibat terperangkap pada putaran mata mesin pengacau dodol berkenaan.

Mangsa dipercayai terjerumus dalam kawah selepas tudung yang dipakainya tersangkut dan terlilit pada batang mesin pengacau dodol ketika memeriksa masakan berkenaan.

Anak saudara mangsa, Encik Nik Roslan Nik Hussein, 41 tahun, berkata beliau bergegas ke bangsal ibu saudaranya selepas terdengar jeritannya meminta tolong.

'Saya bergegas melihat mak cik yang bersendirian di bangsal dan terkejut melihatnya sedang diputar mesin pengacau dodol sambil meraung kesakitan. Saya terus mematikan mesin terbabit sebelum mengambil air menjirusnya dan memanggil bantuan penduduk.

'Penduduk yang datang menyiram air pada dodol panas kerana sukar mengeluarkan mak cik berikutan keadaannya mengerikan dengan kaki tersekat pada sebelah batang mesin,' katanya.

Enam anggota bomba dan penyelamat Tumpat yang tiba pada 5.30 petang mengambil masa kira-kira lima minit memotong komponen kawah sebesar satu pemeluk dan mengeluarkan mangsa. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini