Pages

Thursday, December 16, 2010

Anwar dan rakan-rakan digantung tanpa dibahas

nazri-anwarOleh Patrick Lee
PARLIMEN KUALA LUMPUR: Usul menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat diluluskan tanpa dibahas setelah MP Pakatan bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap tindakan Speaker Pandikar Amin Mulia.
Sebelum itu, situasi di Dewan Rakyat menjadi kecoh ketika usul menggantung Anwar dibentangkan.

Usul yang dibentang oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz dikritik hebat oleh pembangkang.
Apabila speaker membenarkan Nazri membentangkan usul tersebut, MP pembangkang bangun memprotes usul tersebut. Mereka menjerit, "APCO! APCO! APCO!" Mereka juga dilihat mengangkat kad yang tertulis, "Kangaroo" dan "Kangaroo Court".
Bagaimanapun Nazri yang tidak peduli dengan tindakan pembangkang meneruskan pembentangan usul tersebut bagi menggantung MP Permatang Pauh dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.
Kucar kacir di Parlimen
Suasana menjadi kucar-kacir setelah Anwar memulakan ucapan di mana beliau mempertahankan dirinya. Blok pembangkang menjerit dan memekik setelah sesi soal jawab yang berlangsung selama sejam tamat pukul 11 pagi.
Pandikar Amin menolak usul yang mahukannya berundur dan meneruskan usul penggantungan.
Usul penggantungan Anwar timbul setelah siasatan disiplin mendapati beliau bersalah atas dakwaan memperdaya ahli dewan berhubung kontroversi yang melibatkan slogan perpaduan negara. Beliau disyorkan digantung selama enam bulan.
Dewan akan turut mendengar satu lagi usul untuk menggantung tiga lagi MP Pakatan selama 6 bulan atas kesalahan penghinaan dewan kerana mengkritik siasatan terhadap Anwar.
Menurut kenyataan di dalam laman web parlimen, kerajaan mendakwa ketiga-tiga mereka "menyalahguna hak dan keistimewaan mereka sebagai MP dan menghina Parlimen".
Penggantungan keempat-empat mereka akan menjangkaui tempoh masa di mana pilihan raya akan diadakan meskipun ia tidak perlu diadakan sehingga tahun 2013.
BN memperoleh majoriti dua per tiga
Anwar didapati bersalah berbohong kepada Dewan apabila beliau mengaitkan ilham 1Malaysia Perdana Menteri Najib Tun Razak dengan kempen Satu Israel.
Beliau turut menuduh Apco Worldwide, sebuah firma perhubungan awam yang diupah oleh pentadbiran Najib mempunyai hubungan dengan negara Zionis. Syarikat tersebut telah menafikan tuduhan ini.
Tiga MP Pakatan berkenaan Azmin Ali (PKR-Gombak) R Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) akan turut digantung kerana membocorkan butiran terperinci siasatan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan mengenai Anwar.
Penggantungan keempat-empat MP ini akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana BN akan memperoleh kembali majoriti dua pertiga di dewan.
Parti pemerintah BN kehilangan majoriti dua per tiga di Parlimen setelah pilihan raya umum (PRU) pada Mac 8, 2008. Ia turut kehilangan lima kerajaan negeri, lantas mewujudkan lanskap politik baru di Malaysia.
Kini terdapat 222 kerusi parlimen ekoran dari PRU 2008.  BN memperoleh 137 kerusi berbanding 76 kerusi Pakatan. Parti Progresif Sabah mempunyai dua kerusi dan Parti Sosialis Malaysia, satu. Baki enam kerusi diwakili ahli-ahli Bebas yang mesra BN.
Penggantungan empat MP ini akan menyebabkan pembangkang mempunyai 72 kerusi sahaja, kurang dua kerusi untuk menidakkan majoriti dua per tiga BN.
Menurut beberapa pemimpin pembangkang, majoriti dua per tiga diperlukan oleh kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya.

No comments:

Posting Terkini