Pages

Tuesday, October 19, 2010

Abhisit jadi saksi dalam kes Parti Demokrat salah guna dana kerajaan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, tiba di Mahkamah Perlembagaan semalam dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Beliau menjadi saksi bagi pihak pembelaan dalam perbicaraan kes penyalahgunaan dana kerajaan berjumlah 29 juta baht ($1.18 juta) oleh Parti Demokrat pada 2005 semasa Encik Abhisit menjadi timbalan ketua parti itu.

Jika didapati bersalah, Parti Demokrat boleh dibubarkan, dan Encik Abhisit serta pegawai eksekutif parti dilarang melibatkan diri dalam politik selama lima tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (EC) pada April lalu menggesa Parti Demokrat dibubar berhubung dakwaan itu.

Parti Demokrat dituduh membayar 23 juta baht kepada firma pengiklanan meskipun jumlah yang dibenarkan bagi iklan cuma 19 juta baht, lapor akhbar Bangkok Post.

Encik Abhisit menolak tuduhan bahawa seorang anggota Parti Demokrat cuba mempengaruhi mahkamah berhubung kes tersebut.

Pembangkang mendakwa seorang anggota parlimen dari Parti Demokrat berjumpa dengan seorang pembantu Hakim Mahkamah Perlembagaan menjelang perbicaraan itu.

Klip video pertemuan itu disiarkan pada muka depan akhbar Thai semalam.

Buat hari kedua berturut-turut, jurucakap Parti Phuea Thai, Encik Prompong Nopparit, menonjolkan satu segmen klip video yang menunjukkan satu pertemuan antara anggota parlimen Parti Demokrat, Encik Wiruch Romyen; pembantunya Encik Worawut Nawaphokin; dengan Encik Pasit Sakdanarong, seorang pegawai mahkamah dan setiausaha kepada Presiden Mahkamah Perlembagaan.

Pertemuan itu berlaku di sebuah restoran di Prachachuen, lapor akhbar The Nation.

Encik Prompong berkata jamuan makan malam itu berkisar kepada satu strategi guaman untuk memanggil para saksi daripada EC yang akan memberi keterangan yang memihak parti Demokrat.

Encik Wiruch mengakui beliau menghadiri pertemuan itu tetapi menegaskan beliau telah diperangkap.

Beliau mengesyaki parti pembangkang utama yang mendalangi pertemuan itu supaya mahkamah mengeluarkan keputusan yang tidak memihak kepada Parti Demokrat. -- Agensi.





No comments:

Posting Terkini