TERBELAH DUA DAN TERBAKAR: Bangkai pesawat penumpang Henan Airlines ERJ-190 yang terhempas di sebuah lapangan terbang baru di bandar Yichun, di wilayah Heilongjiang, di timut laut China, lewat kelmarin. -- Foto REUTERS
BEIJING: Sebuah pesawat syarikat penerbangan China terhempas dan patah dua sedang ia cuba mendarat dalam cuaca kabus tebal, menyebabkan 42 orang terkorban manakala 54 lagi terselamat.
Ia adalah nahas udara pertama yang berlaku di China sejak hampir enam tahun lalu.
Pesawat penerbangan domestik syarikat penerbangan Henan Airlines itu sedang membawa 96 penumpang termasuk lima kakitangan pesawat apabila ia terhempas lewat kelmarin, dekat sebuah lapangan terbang di bandar timur laut Yichun, di wilayah terpencil Heilongjiang, lapor media pemerintah.
Sejumlah 42 orang terkorban, menurut Penguasa Penerbangan Awam China (CAAC), yang dilaporkan pernah menimbulkan masalah teknikal berhubung jenis pesawat terbabit - sebuah pesawat jet ERJ-190 buatan Embraer, sebuah syarikat dari Brazil.
Semalam, para penyelamat menggeledah bangkai pesawat yang hangus terbakar itu mencari mangsa, manakala mereka yang terselamat - sebahagian besarnya daripada bahagian kabin depan pesawat - telah dirawat di empat hospital setempat, kata laporan agensi berita Xinhua News.
Kapten pesawat itu adalah antara mereka yang terselamat tetapi beliau mengalami kecederaan teruk di mukanya dan tidak boleh bercakap, kata Xinhua.
'Pesawat benar-benar bergoncang secara menakutkan - pesawat bergoncang dengan amat kuat selama lima atau enam kali,' kata salah seorang mangsa nahas lelaki yang terselamat kepada stesen Televisyen Pusat China (CCTV) daripada katilnya di hospital, sambil menggambarkan betapa paniknya pata penumpang yang cuba menyelamatkan diri.
Seorang lagi mangsa lelaki yang diwawancara CCTV - dengan kepalanya yang berbalut dan hidungnya yang berdarah - juga berkata beliau merasakan satu 'goncangan kuat' sedang pesawat itu cuba mendarat dan terdengar 'hempasan kuat - bam, bam, bam'.
Antara mereka yang menaiki pesawat itu adalah beberapa pegawai dari Kementerian Sumber Manusia China.
Seorang penumpang dari Taiwan adalah antara mereka yang cedera, lapor Xinhua.
Di lapangan terbang Lindu di bandar Yichun, yang terletak di sebuah kawasan hutan sekitar sembilan kilometer di luar bandar itu, para penyelamat sedang memindahkan mayat-mayat ke beg-beg berwarna perak ke rumah urus mayat, kata agensi berita itu lagi.
Sementara itu, sekurang-kurangnya satu syarikat penerbangan mempersoalkan tahap keselamatan bagi pendaratan waktu malam di lapangan terbang yang agak baru di timur laut China itu, berikutan nahas pesawat Henan Airlines itu.
China Southern Airlines, Ogos tahun lalu memutuskan mengelak daripada menyediakan khidmat penerbangan malam ke Yichun atau keluar dari bandar itu dengan menukar penerbangan hariannya dari Harbin ke waktu siang.
Satu nota teknikal syarikat itu menyebut keadaan rupa bumi di sekeliling lapangan terbang berkenaan, mutu lampu pada landasan penerbangan dan angin serta cuaca sebagai faktor yang membimbangkan. -- AFP, AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment