Pages

Wednesday, August 11, 2010

Jejak Sindiket Seludup Manusia

DEKAT MATA MEMANDANG, JAUH UNTUK DIPIJAK: Jeti kecil yang masih digunakan oleh guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu di Johor ini dipercayai salah satu tempat yang digunakan oleh sindiket untuk membawa pendatang haram ke Singapura. Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu cuma terletak 1.5 kilometer dari Lim Chu Kang Road di Singapura yang boleh kelihatan di seberang jeti ini.

ISU: Apakah modus operandi sindiket penyeludupan manusia yang berpangkalan di Johor?


MATA mereka melingas memerhatikan keadaan sekeliling. Gigitan nyamuk tidak sedikit pun mereka hiraukan, walaupun sudah hampir sejam mereka dibawa ke ladang kelapa sawit itu.

Bahaya jelas di depan mata. Tetapi demi mahu mendapatkan kehidupan lebih baik, mereka membahayakan diri.

Mereka tidak hirau terpaksa merentas hutan dan laut bergelora, asalkan mereka dapat ke seberang.

Atas kemahuan itulah mereka berada di tengah ladang kelapa sawit diselubungi kegelapan malam yang pekat.

Mereka nekad mahu melakukannya. Tetapi mereka harus menunggu di situ sehingga keadaan 'selamat' untuk membawa mereka ke seberang.

Namun, mereka tetap bimbang sekiranya jejak-jejak mereka dihidu pihak berkuasa. Degup jantung semakin kencang.

Mereka tidak sabar untuk cepat-cepat sampai ke seberang. Tetapi mereka harus ikut kata orang-orang yang telah diupah mereka.

Akhirnya, masa yang dinanti-nantikan tiba. Mereka sudah mendapat isyarat keadaan kini selamat untuk menyeberang.

Mereka segera dibawa menaiki kereta ke tempat berlepas. Dalam perjalanan, mereka dapat melihat beberapa rumah kampung secara samar-samar.

Perjalanan kereta itu mengambil masa hanya lima minit sahaja. Sampai di pinggir pantai, sebuah bot nelayan dengan enjin berkuasa tinggi sedang menunggu.

Jantung mereka berdegup semakin kencang. Inilah saat-saat paling mendebarkan. Jika tertangkap, harapan mereka hancur berkecai.

'Cepat naik bot! Nanti polis datang,' bisik orang-orang yang diupah itu dengan nada yang keras.

Mereka adalah anggota sindiket penyeludupan manusia yang mengatur perjalanan 'hitam' itu.

Dalam bot, sekumpulan pendatang haram itu khuatir dan tidak pasti sama ada mereka semua akan selamat mendarat. Kerana tidak mampu membayar upah yang tinggi, mereka diberitahu supaya berenang untuk sampai ke Singapura.

Hanya dalam masa dua minit, mereka sudah pun sampai ke tempat di mana mereka perlu terjun ke laut dan berenang ke darat.

Bermula saat itu, mereka berharap tidak dikesan dan sempat sampai ke darat. Perjalanan selanjutnya, masih belum difikirkan. Mereka hanya ingat untuk sampai ke Singapura.

Tetapi kebanyakan daripada mereka 'tersangkut' dek ditangkap polis akhirnya.

Demikianlah jejak-jejak yang dilalui pendatang haram yang ingin menyeludup masuk ke Singapura melalui jalan laut dari Johor.

Butir-butir tersebut dikumpulkan hasil siasatan Berita Minggu yang mengunjungi Kampung Sungai Melayu di Selat Johor, yang terletak tidak jauh dari sempadan Singapura.

Menurut polis, seorang pendatang haram ke Singapura perlu membayar $1,300 hingga $3,000, bergantung kepada cara pendaratan yang mereka inginkan.

Bayaran lebih tinggi bermakna mereka akan diturunkan di darat sementara 'pakej' lebih murah bermakna pendatang haram perlu berenang ke pantai.

Namun, bayaran 'pakej mahal' tidak menjamin seseorang akan mendarat di pantai, sebagaimana yang telah berlaku kepada seorang wanita warga China, yang ditemui mati September tahun lalu setelah dia dan rakannya dipaksa terjun dari bot kira-kira 50 meter dari pantai Pulau Ubin.

Baru-baru ini pula, seorang lagi ketua sindiket penyeludupan manusia berjaya ditangkap. Ia merupakan tangkapan ketua sindiket penyeludupan manusia yang ketiga dalam masa 12 bulan.

Ketua sindiket ketiga itu, Suimi Taruna, 43 tahun, ditangkap pada awal pagi 27 Januari lalu di kampung tersebut.

Suimi, atau lebih dikenali sebagai Impa, merupakan penduduk kampung itu yang kedua ditangkap kerana kesalahan menyeludup manusia ke Singapura.

Dia dikatakan mempunyai empat anak dan dipercayai tinggal di rumah mertuanya.

Sebelum ini, seorang lagi ketua sindiket, yang juga penduduk Kampung Sungai Melayu, Salam Awang, atau Mat Gajah, ditangkap pada April tahun lalu.

Namun, butir-butir lanjut tentang Suimi atau Mat Gajah sukar diperolehi daripada penduduk Kampung Sungai Melayu.

Beberapa penduduk yang ditemui tampak berat untuk menyentuh perihal kedua-dua ketua sindiket tersebut kerana bimbang tersilap cakap mengenainya.

Ada juga yang dibelenggu keresahan kerana rata-rata peduduk kampung itu memiliki pertalian saudara dengan kedua-dua ketua yang tertangkap itu.

'Kalau nak apa-apa maklumat, lebih baik tanya ketua kampung. Kami tak berani nak cerita apa-apa,' ujar seorang lelaki berusia awal 40-an.

Ketua Kampung Sungai Melayu, yang juga ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Encik Pandak Haji Ahmad, mengakui bahawa 90 peratus penduduk di situ mempunyai pertalian darah antara satu sama lain.

'Mereka keberatan untuk bersuara sebab takut salah cakap dan menyinggung mana-mana pihak.

'Tapi apa yang saya tahu, terdapat desas-desus bahawa sindiket pernah menggunakan kampung kami sebagai tempat persinggahan sebelum pendatang haram dibawa menyeberang.

'Antara tempat persembunyian yang dipercayai digunakan oleh sindiket itu ialah kawasan kebun kelapa sawit yang mengelilingi kampung ini,' ujar Encik Pandak.

Encik Pandak, 46 tahun, berkata sebelum ini penduduk kampung pernah menangkap beberapa kelompok warga asing yang dipercayai warga Thailand di kawasan kampung mereka.

'Penduduk memang pernah tangkap orang-orang asing di kawasan ini. Kami juga ada sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memantau keadaan kampung.

'Malah, kami sentiasa bekerjasama dengan pihak polis Nusajaya untuk membanteras sebarang kegiatan jenayah di kampung ini,' ujarnya.

Sindiket penyeludupan manusia ini memang cukup licik menjalankan kegiatan. Untuk memastikan kegiatan mereka tidak dikesan, mereka sering bertukar-tukar kereta.

Menurut seorang penduduk kampung yang mendakwa ada kaitan saudara dengan Impa, beliau sering melihat jirannya itu bertukar-tukar kereta.

'Tak tahulah kereta tu dia punya ke atau pinjam kawan. Tapi memang selalu saya nampak dia bertukar-tukar kereta,' ujar wanita berusia pertengahan 40-an itu, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau juga mendakwa, pernah beberapa kali, jirannya itu meminta beliau dan suaminya menumpangkan 'orang' di rumahnya.

'Tapi saya tak mahu. Kita bukan tahu apa yang mereka nak buat bila orang yang tak dikenali tidur di rumah kita.

'Bila saya dapat tahu Impa kena tangkap, baru saya sedar dia rupanya dalang sindiket pendatang haram,' kata wanita yang tidak mahu dikenali kerana beliau mempunyai pertalian rapat dengan keluarga ketua sindiket itu.





No comments:

Posting Terkini