Pages

Monday, July 26, 2010

Pengurangan subsidi boleh jejas kedudukan Najib dan populariti BN

Oleh
Suhana A. Samat

Kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
Kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju
Kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara
Kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja
Kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta
Kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta
Jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu
Tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?


ITULAH antara bait sajak yang dikarang mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang mempersoalkan rasional tindakan kerajaan Malaysia mengurangkan subsidi petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) berkuat kuasa pada 16 Julai lalu.

Pandangan Dr Mohd Asri mewakili suara rakyat biasa yang mempersoalkan pengurangan subsidi itu.

Di Malaysia, isu pengurangan subsidi bukan sekadar isu kenaikan kos sara hidup, malah ia merupakan isu politik penting yang menjadi senjata parti pembangkang yang lantang menyuarakan bantahan mereka.

Timbul persoalan kenapa kerajaan terpaksa menaikkan harga barangan keperluan tersebut, apatah lagi ia dilakukan secara mengejut dan dilihat agak drastik.

RASIONAL MENGURANGKAN SUBSIDI
Pada Jun 2008, pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, terpaksa menghadapi kemarahan rakyat berikutan penarikan subsidi minyak sehingga mencetuskan kenaikan harga 41 peratus ke atas petrol kepada RM2.70 ($1.15) seliter dan 63 peratus ke atas diesel, kepada RM2.58 seliter.

Walaupun beliau segera menampilkan rebat bagi kereta di bawah 2,000 cc dan motosikal, jalur kemarahan itu tampaknya digunakan gerakan pembangkang.

Ini meskipun tindakan itu perlu dilakukan ekoran kenaikan harga minyak sejagat yang mencecah sehingga AS$130 ($178) setong.

Selang beberapa bulan kemudian, harga bahan bakar itu diturunkan semula setelah harga minyak mentah dunia terus stabil.

Meskipun demikian, insiden itu telah meningkatkan lagi tekanan daripada parti pembangkang yang mendakwa Datuk Seri Abdullah perlu berundur lebih awal kerana gagal menangani masalah ekonomi dan kebajikan rakyat sejak mengurangi subsidi petrol dan diesel.

Pada April 2009, Datuk Seri Abdullah menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun tarikh yang dipersetujui pada awalnya ialah Jun 2010.

Jika dilihat nasib yang menimpa Datuk Seri Abdullah, Datuk Seri Najib lantas kini dilihat lebih berani apabila melaksanakan program rasionalisasi subsidi secara berperingkat.

Meskipun kemarahan rakyat dijangkakan, Datuk Seri Najib menjelaskan langkah itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta bagi tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula tahun ini.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak 5 sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram.

Ini bermakna harga petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Harga petrol RON 97 akan diapungkan secara terkawal.

Minyak diesel pula dinaikkan kepada RM1.48 berbanding RM1.43 sebelum ini.

Untuk gula, kenaikannya ialah 25 sen sekilogram - RM1.65 kepada RM1.90 sekilogram.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Beliau, yang juga menteri kewangan, berkata penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan bagi pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Untuk mengukuhkan lagi hujah kerajaan, pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, malah dilaporkan berkata Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, pula berkata tindakan kerajaan itu adalah bagi memastikan pengagihan subsidi dapat diperhalusi seterusnya diagihkan kepada kelompok yang memerlukan di negara ini dan bukannya golongan mewah.

'Rakyat perlu sedar dan faham sebab utama kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menyelaraskan subsidi kepada rakyat. Ini kerana kalau kita lihat betul-betul subsidi yang diberikan kerajaan kita kepada rakyat hari ini, ia banyak menguntungkan orang kaya.

'Kalau kita bandingkan dengan negara lain, mereka benar-benar mengkhususkan kumpulan yang wajar menerima subsidi. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, mereka hanya memberikan bantuan makanan dan perlindungan, tetapi itu hanya untuk golongan susah.

'Bukan macam kita, orang kaya yang memandu kereta Mercedes isi minyak sampai RM200, orang kampung hanya isi minyak RM3 untuk motosikal mereka. Untuk seliter minyak, kerajaan memperuntukkan 80 sen subsidi bagi seliter, kalau seminggu lima kali orang kaya isi minyak. Siapa yang untung?' katanya.

APA KATA PEMBANGKANG

Di pihak pembangkang pula, mereka menegaskan pentadbiran Datuk Seri Najib tidak sewajarnya merampas subsidi rakyat, memandangkan Perbendaharaan mengaku mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa subsidi diselaras.

Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mahfuz Omar, berkata kewangan kerajaan masih kukuh walaupun tanpa langkah mengurangkan subsidi tersebut.

'Kalau betul-betul kerajaan hendak mengurangkan dan menjimatkan RM750 juta, apa gunanya potong subsidi ini sedangkan kerajaan ada lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa diselaras subsidi... apa perlunya penyelarasan subsidi ini?' tanya beliau.

Selain parti pembantang, pengurangan subsidi itu turut dibantah badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes).

Badan itu akan melancar kempen bantahan lusa.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli, berkata pihaknya juga akan berusaha mengajak lebih banyak NGO bersama dengan badan itu membantah kenaikan harga barangan tersebut.

Langkah kerajaan mengumumkan bahawa pemilik kenderaan asing tidak lagi dibenarkan membeli petrol RON 95 di stesen-stesen minyak di Malaysia turut menimbulkan kegelisahan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang meminta diberi tempoh lebih lama kepada ahli-ahli persatuan itu sebelum kerajaan menguatkuasakan sekatan bermula 1 Ogos ini.

Pemilik kenderaan asing hanya dibenarkan membeli petrol RON 97 sejajar dengan dasar kerajaan yang menetapkan subsidi hanya untuk rakyat Malaysia dan bukan pemilik kenderaan asing.

Minggu lalu, sekitar 130 pengusaha bas di Semenanjung yang menjadi ahli Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), termasuk syarikat terbesar perkhidmatan itu, KTB, mengumumkan tidak akan menyediakan bas tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri ini berikutan kenaikan 5 sen harga diesel yang diumumkan kerajaan pada 16 Julai lalu.

Pengarah Eksekutif KTB, yang mewakili pengusaha bas berkenaan, Tengku Hasmadi Tengku Hashim, berkata langkah tersebut terpaksa diambil ekoran kenaikan subsidi diesel itu disifatkan sebagai mendadak.

Kenaikan itu menyebabkan KTB berdepan kerugian hampir RM3 juta kerana menanggung bebanan bahan bakar dan kenaikan kos penyelenggaraan.

KESAN TERHADAP KERAJAAN

Kesangsian terhadap kerajaan merupakan salah satu sebab utama mengapa pengurangan subsidi ini menjadi isu hangat.

Bagi rakyat biasa, isu kos sara hidup harian lebih penting daripada isu penakatan ekonomi negara.

Pengurangan subsidi kali ini hanya satu langkah awal.

Rakyat Malaysia telah dimaklumkan agar menjangkakan lebih banyak pengurangan subsidi pada masa depan.

Lantas, tidak hairanlah jika golongan itu mempersoalkan apa perkongsian manfaat yang boleh mereka perolehi jika kerajaan meraih penjimatan hasil pengurangan subsidi tersebut.

Mereka yang membangkang berkata kerajaan pernah menjanjikan pemberian insentif dan kemudahan lain hasil penjimatan masa-masa lalu, tetapi ia tinggal janji semata-mata.

Seperti kata Dr Mohd Asri dalam sajaknya:

Tapi entah berapa kali janji... konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti... hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi.

Kami terus termanggu di sini... kalian juga yang nikmati... kami hanya menggigit jari.

Sama ada isu ini akan menggugat kedudukan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan menjejas populariti Barisan Nasional (BN) bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan menangani rintihan rakyat.

Selagi isu pengagihan manfaat ini tidak ditangani dan dijelaskan oleh kerajaan Datuk Seri Najib, selagi itu suarasuara membangkang akan terus kedengaran dan menjadi 'duri dalam daging' dalam pentadbiran beliau.





No comments:

Posting Terkini