PESHAWAR: Perangkaan kematian akibat banjir selama tiga hari di Pakistan mencapai sekurang-kurangnya 267 jiwa semalam, kata para pegawai penyelamat dan pemerintah.
Ini sedang hujan lebat terus menyebabkan sungai-sungai di kawasan terbabit terus sarat dipenuhi air dan menenggelamkan kampung-kampung serta menyebabkan kejadian tanah runtuh.
Jumlah kematian semakin meningkat ekoran hujan monsun itu mencerminkan keadaan prasarana yang teruk di Pakistan.
Para pekerja penyelamat yang kekurangan kelengkapan berhempas pulas ke kawasan-kawasan perkampungan terpencil untuk memberi bantuan kepada para penduduk yang terkandas.
Ramalan cuaca bercampur-campur. Beberapa daerah dijangka mengalami kurang hujan manakala yang lain pula diramalkan mengalami lebih banyak hujan.
Stesen televisyen Pakistan menunjukkan imej penduduk yang berusaha bergayut pada pagar-pagar dan benda-benda lain yang tidak bergerak di tengah-tengah arus deras air bah.
Kawasan barat laut negara itu kelihatan paling teruk terjejas. Menteri Perhubungan wilayah itu, Encik Mian Iftikhar, berkata ia adalah kejadian banjir paling teruk di wilayah berkenaan sejak 1929.
Sekurang-kurangnya 245 orang mati di beberapa kawasan wilayah tersebut sepanjang tiga hari lalu, kata Encik Mujahid Khan daripada Yayasan Edhi, sebuah pertubuhan khidmat menyelamat yang dikendalikan pihak swasta, yang turut menawarkan khidmat ambulans dan mengurus bilik mayat.
Sementara itu, pemerintah Pakistan telah meningkatkan usaha menyelamat selepas ribuan penduduk kampung terkandas di wilayah berkenaan.
Sistem perhubungan juga terputus.
'Kami mempunyai 23 helikopter yang sedang membantu dalam misi-misi bantuan dan menyelamat di seluruh wilayah Khyber Pakhtunkhwa hari ini (semalam),' kata Encik Amir Siddique, seorang jurucakap bagi Penguasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), menerusi telefon dari Islamabad semalam.
Encik Iftikhar bagaimanapun berkata prasarana di wilayah itu 'sudah dimusnahkan oleh pengganasan'.
'Apa yang tinggal telah dimusnahkan pula oleh banjir ini. Ada kemungkinan berlakunya lebih banyak kejadian banjir, dan lebih banyak kerosakan,' tambahnya.
Beliau membuat rayuan bagi mendapatkan bekalan khemah, bot dan makanan bagi mereka yang kehilangan tempat kediaman dan meminta orang ramai berpindah dari kawasan-kawasan yang terjejas ke bandar-bandar.
Askar-askar lengkap dengan jaket keselamatan, bot dan rakit telah dikerahkan untuk membantu memindahkan keluarga-keluarga ke lokasi lebih selamat, kata pihak tentera di laman webnya kelmarin.
Sekurang-kurangnya 400,000 orang terkandas di beberapa bandar dan perkampungan yang terjejas di wilayah itu. -- AP, Bloomberg.
Saturday, July 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment