Pages

Thursday, July 1, 2010

Keluarga Altantuya mahu tuntut pampasan RM100 juta

KUALA LUMPUR: Pemerintah Mongolia telah mengirimkan RM60,000 ($25,805) sebagai bon keselamatan bagi saman sivil ke atas kerajaan Malaysia atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Keluarga mendiang Altantuya, yang dibunuh oleh dua pegawai polis dengan badannya diletupkan dalam hutan empat tahun lalu, mahu menuntut pampasan bernilai RM100 juta daripada Putrajaya dan juga bekas kekasih model itu, Encik Abdul Razak Baginda.

Tetapi ayah mendiang Altantuya, Encik Shaariibuu Setev, dilaporkan mengalami kesukaran mengumpulkan wang bagi membayar bon keselamatan itu.

Peguamnya, Encik Karpal Singh, berkata wang daripada pemerintah Mongolia itu telah disalurkan kepada akaun bank firmanya pada Isnin lalu.

'Saya akan menghantar orang untuk mendepositkan wang itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (semalam). Jika tidak, kes ini akan dibatalkan,' kata Encik Karpal yang ditukil oleh laman berita The Malaysian Insider semalam.

Encik Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata kes itu harus diteruskan demi menegakkan keadilan.

Beliau juga berikrar membantu Encik Shaariibuu mendapatkan bantuan derma daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi menampung kos kes itu.

Mendiang Altantuya, yang mempunyai dua anak kecil yang cacat, meninggal dunia pada usia 28 tahun.

Menurut bapanya, mendiang yang merupakan ibu tunggal adalah satu-satunya pencari nafkah keluarga.

Encik Abdul Razak telah dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi dibebaskan daripada tuduhan itu dua tahun lalu.


No comments:

Posting Terkini