Pages

Thursday, June 17, 2010

Tiga terbunuh dalam gempa di Indonesia

JAKARTA: Satu siri gempa bumi kuat melanda Indonesia semalam, mengorbankan sekurangnya tiga orang dan mencetuskan berlakunya kejadian tanah runtuh dan memusnahkan puluhan rumah.

Satu amaran tsunami menyebabkan para penduduk panik dan melarikan diri ke bangunan-bangunan di tempat yang lebih tinggi.

Gempa sekuat antara 7.0 dengan 7.1 pada skala Richter itu berpusat kira-kira 29 kilometer ke dasar laut dan 195 kilometer dari pantai utara wilayah Papua, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat dalam laman webnya.

Gempa bumi itu kemudian disusuli satu siri gegaran susulan dengan ukuran tertingginya sekitar 6.4 pada skala Richter.

Lebih 20 rumah roboh di Serui, sebuah bandar di daerah Yapen Waropen, pulau Yapen, menyebabkan kebakaran pada sekurang-kurangnya tujuh tempat, kata jurucakap polis, Leftenan Kolonel Wachjono.

Dua mayat ditemui di bawahan tindihan serpihan runtuhan batu.

'Polis dan pasukan penyelamat masih mencari mangsa lain di kawasan terpencil,' kata beliau.

Ratusan orang bergegas keluar dari rumah masing-masing, kata Yan Pieter Yarangga, seorang penduduk dari bandar Biak.

Ketakutan berlakunya tsunami, orang ramai melarikan diri dari kawasan pantai dan menuju ke dataran lebih tinggi.

'Saya juga lari. Saya takut jika ada gempa kedua,' kata beliau.

Amaran tsunami kemudian dibatalkan.

'Dua orang terbunuh di pulau ini kerana gempa. Kami masih mengumpulkan maklumat mengenai kerosakannya,' kata ketua polis Yapen, Encik Deny Siregar, kepada agensi berita AFP, sebelum itu.

Gempa bumi terjadi sekitar 12.16 tengah hari (waktu tempatan), kata para pegawai.

Pulau Yapen mempunyai 70,000 penduduk dan kelihatan menjadi kawasan paling teruk dilanda gempa bumi itu dengan sebuah gereja musnah dan sekurang-kurangnya 150 rumah rosak, kata polis.

'Keadaannya kini masih tegang. Kami telah memindahkan orang ramai ke kawasan lebih tinggi kerana menjangkakan tsunami,' kata Encik Siregar kepada AFP melalui telefon dari bandar Serui.

'Saya sedang memandu ke pejabat... saya berasakan gegaran besar buat satu atau dua minit. Kereta saya tercampak,' kata seorang penduduk di Biak, Encik Osibyo Wakum.

Pada 2004, kejadian tsunami membunuh sekurang-kurangnya 168,000 orang di Indonesia sahaja, apabila ombak dari laut melanda bandar di utara Sumatera selepas satu gempa bumi sekuat 9.3 pada skala Richter.

Satu gempa sekuat 7.6 pada skala Richter membunuh kira-kira 1,000 orang di Padang, Sumatera Barat, pada September lalu, diikuti oleh gempa sekuat 7.8 pada skala Richter pada April lalu tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar. -- AP, AFP.





No comments:

Posting Terkini