Pages

Tuesday, June 8, 2010

Tiga pemimpin baru terajui JI

KUMPULAN Jemaah Islamiyah (JI) kini mempunyai tiga pemimpin baru untuk menerajui perjuangan ekstremisnya selepas kematian beberapa pemimpin lamanya, termasuk yang terbaru Noordin Md Top dan Dulmatin.

Tiga pemimpin baru itu ialah Rusman 'Gun Gun' Gunawan, adik seorang pemimpin kumpulan itu, Hambali; Muhamad Jibril, anak seorang anggota, Abu Jibril; dan Abdul Rohim, anak pemimpin kerohaniannya, Abu Bakar Bashir.

Ini didedahkan Ketua Pusat Antarabangsa bagi Kajian Keganasan Politik dan Pengganasan (ICPVTR) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Dr Rohan Gunaratna, kepada Berita Harian Khamis lalu.

Menurut beliau, daripada tiga pemimpin baru itu hanya Muhamad Jibril, yang dikenali juga sebagai Putera Jihad, kini ditahan. 'Gun Gun' dibebaskan dari penjara tahun lalu.

Dr Gunaratna berkata Abdul Rohim seorang yang memainkan peranan strategik kerana dia menguruskan operasi bapanya.

Mereka dikenal pasti sebagai pemimpin baru JI setelah kematian beberapa pemimpin seperti Noordin, Dulmatin dan Dr Azhari.

'Para pemimpin generasi lama pemimpin cekap - Dulmatin, Noordin Mohd Top, terutamanya Dr Azhari, yang mempunyai pendidikan PhD (doktor falsafah) dari Universiti Reading (Britain), yang memberinya kemahiran dalam membuat bom.

'Hampir kesemuanya mempunyai pengalaman latihan di Afghanistan dan Filipina, dan mempunyai hubungan peribadi dengan kumpulan Al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan lain. Agak sukar menggantikan mereka.

'Namun, kini timbul pemimpin baru - Gun Gun, Muhamad Jibril dan satu lagi yang agak penting, Abdul Rohim, anak Abu Bakar Bashir.

'Dia (Abdul Rohim) adalah anggota JI dan juga Al-Qaeda, dan berkhidmat dalam jawatankuasa media Al-Qaeda di bawah Hambali,' kata Dr Gunaratna.

Abdul Rohim dilapor menjadi orang kanan bapanya di pesantren Al-Mukmin di Solo, Jawa Tengah, dan penghubung kuat antara Al-Qaeda dan JI.

Gun Gun pernah ditangkap di Pakistan pada 2003. Pada 2004 mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atasnya kerana membantu membiayai serangan ke atas hotel JW Marriott Jakarta pada 2003. Tetapi dia dibebaskan sekitar lewat tahun lalu.

Muhamad Jibril, yang juga pengasas laman Internet radikal Arrahmah. com dan terkenal dengan nama penanya Putera Jihad, diberkas dua tahun lalu atas dakwaan menyalurkan dana luar untuk membiayai serangan bom berganda ke atas hotel JW Marriott Jakarta dan Ritz-Carlton, yang membunuh sembilan orang pada 17 Julai 2009.

Menurut Dr Gunaratna, tidak seperti pemimpin generasi sebelum mereka, yang cekap dengan teknik melancarkan serangan pengganas, pemimpin baru itu mempunyai keupayaan baik dalam perhubungan strategik.

'Ketiga-tiga mereka pakar dalam bidang media perhubungan. Mereka tahu cara mendekati dan mengapi- apikan masyarakat melalui propaganda serta penyebaran fahaman radikal dan doktrin melalui laman web,' kata beliau.

Mengenai ancaman pengganasan di rantau ini, khususnya Singapura, Dr Gunaratna berkata ancaman masih kekal dan Singapura tidak terkecuali darinya.

Tetapi, beliau menarik perhatian bahawa usaha memerangi pengganasan mencapai kemajuan memberangsangkan di Indonesia sejak Julai lalu.

No comments:

Posting Terkini