KOTA KINABALU: Tiga beradik bawah umur warga Filipina yang terpedaya dengan janji manis sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan daripada terus menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia.
Mangsa yang berusia 13, 15 dan 16 tahun diselamatkan hasil beberapa serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke atas premis pelacuran di Tawau, Rabu lalu.
Episod malang tiga beradik terbabit bermula apabila kedatangan mereka ke Malaysia mencari rezeki tidak kesampaian selepas terjerat dalam perangkap ibu ayam sebelum dipaksa menjadi pelacur sepenuh masa.
Dalam tiga serbuan itu, polis turut menyelamatkan 23 lagi gadis warga Filipina, yang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Serbuan diketuai Pegawai Turus Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPK Sabah, Timbalan Superintenden Taufik Mydin, selepas melakukan beberapa intipan membabitkan tiga lokasi berbeza, dipercayai menjadi markas pusat pelacuran beroperasi.
Encik Taufik berkata, dalam serbuan pertama sekitar 6 petang Rabu lalu di sebuah rumah kedai di Tawau itu, polis menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang berasal dari Filipina.
'Gadis berusia 13 tahun ini dipercayai dibawa masuk dari Filipina ke daerah ini sejak dua bulan lalu selepas diperdaya sindiket pelacuran.
'Sebaik diselamatkan dan menahan seorang lelaki dipercayai bapa ayam, polis mengesan dua lagi gadis bawah umur, difahamkan kakak mangsa,' katanya.
Dua mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun itu berjaya dikesan dan diselamatkan di dua premis berasingan di sekitar bandar itu.
'Hasil maklumat daripada dua mangsa terbabit turut membawa kepada penemuan 23 lagi wanita rakyat Filipina yang dikurung dan dipaksa menjadi pekerja seks di sebuah premis berasingan.
'Seramai lapan ahli sindiket terbabit termasuk empat wanita ditahan reman sehingga 22 Jun ini untuk siasatan lanjut,' katanya.
Semua wanita yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen dan ada di kalangan mereka dipercayai dikurung serta dipaksa menjadi hamba seks sejak setahun lalu. -- Harian Metro.
Saturday, June 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment