Pages

Saturday, June 19, 2010

Lombong meletup: 70 dikhuatiri maut

AMAGA (Colombia): Sekitar 70 pekerja lombong dikhuatiri maut selepas sebuah lombong arang batu di bawah tanah di Medellin, meletup, sebelum terbakar ketika mereka sibuk bertukar syif kerja, kelmarin.

Berpuluh ahli keluarga mangsa berkumpul di luar kawasan kejadian untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai mangsa terbabit.

Hanya seorang pekerja lombong terbabit dijumpai selamat dengan 30 peratus anggota mangsa melecur, menurut ketua Jabatan Penyelamat, Encik Juan Carlos Posada.

Pegawai berkata, kematian 17 mangsa sudah disahkan dengan 11 mayat sudah dikenal pasti.

'Keadaan sangat sukar untuk menjumpai mereka yang masih hidup kerana letupan itu menyebabkan suhu dalam lohong lombong terlalu panas,' katanya.

Beliau berkata, kebanyakan mayat yang ditemui setakat ini terbakar teruk.

Para pekerja penyelamat berkata harapan tipis untuk menarik keluar pekerja lombong yang selamat.

Letupan dikatakan berlaku ekoran gas yang terkumpul dalam lombong itu.

Namun, para anggota keluarga pekerja lombong masih tidak berputus asa.

'Sehingga saya melihat sendiri mereka membawa keluar mayatnya, saya tidak akan pulang,' kata Cik Gladys Gallego, yang sabar menanti khabar mengenai anggota keluarganya di luar lombong itu. -- AFP, Reuters.


No comments:

Posting Terkini