Pages

Saturday, June 19, 2010

Pelajar dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda RM8,000

MELAKA: Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, menjatuhkan hukuman penjara maksimum selama dua tahun dan denda RM8,000 ($3,415) terhadap seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi.

Ini selepas dia mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan mayat bayi lelaki dilahirkan teman wanitanya di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam, dekat sini, pertengahan bulan lalu.

Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19 tahun, yang dituduh bersama teman wanitanya seorang pelajar berusia 15 tahun, melakukan kesalahan berkenaan antara 12 dengan 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.

Teman wanitanya, yang turut mengaku bersalah atas tuduhan sama, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selama dua tahun.

Dia turut diperintah melapor diri di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan balai polis berhampiran secara tetap selama dua tahun.

Selain itu, dia perlu berada di rumah selewat-lewatnya 6 petang setiap hari bagi tempoh dua tahun dan perlu mengikuti bengkel interaktif anjuran jabatan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum hukuman dijatuhi, Majistret Muhamad Faizal Ismail turut meneliti laporan sosial dan laporan akhlak yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya, Cik Farah Wahida Md Nor.

Ketika ditemui selepas prosiding berkenaan, Cik Farah Wahida, berkata majistret memberitahu hukuman yang diputuskan itu berdasarkan kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata majistret berharap hukuman berkenaan dijadikan peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan jenayah yang sama, sekali gus sebagai pengajaran kepada kedua-dua pesalah muda tersebut.

Cik Farah Wahida turut memaklumkan, ketika merayu hukuman diringankan, Muhammad Safiuddin memberitahu mahkamah, dia ingin meneruskan pengajiannya ke peringkat ijazah. -- BHM.





No comments:

Posting Terkini