Pages

Monday, June 21, 2010

Lebih 300 remaja Melayu terlibat dalam gejala seks

KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 dengan 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas sehingga ada yang menggugurkan janin.

Lebih mengejutkan, kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa, malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.

Menurut kajian itu, mereka yang terjebak dengan gejala terbabit bukan disebabkan faktor tekanan akibat kegagalan institusi keluarga, termasuk rumah tangga porak-peranda, sebaliknya tertarik dengan pengaruh rakan sebaya.

Sebahagian besar mereka juga mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.

Dapatan itu diperolehi daripada kajian enam bulan bertajuk Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual dengan 400 responden ditumpukan kepada dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan kawasan luar bandar, iaitu pelajar sekolah menengah daripada menengah satu hingga menengah lima, serta remaja di bawah usia 25 tahun.

Kajian itu siap sepenuhnya Disember lalu.

Pengarah Pusat Kokurikulum UPM yang mengetuai kajian itu, Profesor Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ada responden mengakui terdedah kepada 'dunia seksual' seawal sekolah rendah, termasuk memuat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari laman web pornografi.

Beliau berkata penggunaan bahasa serta isyarat lucah dalam komunikasi dan pergaulan harian bersama rakan sebaya pada usia begitu mentah juga menjadi amalan mereka. -- BMM.




No comments:

Posting Terkini