Pages

Wednesday, June 16, 2010

Amerika temui lapisan mineral bernilai AS$1 trilion di Afghanistan

KABUL: Amerika Syarikat telah menemui lapisan mineral yang bernilai sehingga AS$1 trilion ($1.4 trilion) di Afghanistan.

Ini mampu mengubah negara miskin itu menjadi salah satu pusat perlombongan penting di dunia.

Akhbar New York Times yang menukil pegawai pemerintah Amerika semalam melaporkan, lapisan mineral seperti besi, tembaga, kobalt dan emas itu telah ditemui oleh sepasukan pegawai Pentagon dan ahli geologi Amerika di serata Afghanistan.

Ini termasuk di wilayah selatan dan timur di sepanjang sempadan Pakistan, di mana pertempuran dengan kumpulan pengganas Taleban adalah paling sengit.

'Terdapat potensi yang sangat menakjubkan di sini,' lapor akhbar itu yang menukil Jeneral David Petraeus, yang mengepalai Markas Pusat tentera Amerika.

Laporan itu turut menukil satu memo Pentagon yang berkata Afghanistan dikatakan mampu menjadi 'Arab Saudi bagi litium'.

Lapisan litium di Afghanistan dikatakan sama banyak berbanding dengan apa yang terdapat di Bolivia, yang buat masa ini merupakan negara yang mempunyai sumber litium terbesar di dunia.

Litium merupakan bahan mentah utama yang digunakan bagi menghasilkan bateri bagi komputer riba dan lain-lain alat elektronik.

Pegawai Amerika yang ditukil akhbar itu bagaimanapun berkata Afghanistan tidak mempunyai industri atau prasarana perlombongan.

Justeru, ia bakal mengambil masa beberapa dekad untuk negara itu memanfaatkan kekayaan mineralnya.

Menurut akhbar itu, lapisan mineral terbesar yang ditemui di Afghanistan sejauh ini ialah besi dan tembaga.

Jumlah itu mampu menjadikan Afghanistan sebagai penghasil utama dunia.

'Ini akan menjadi tulang belakang ekonomi Afghan,' kata Encik Jalil Jumriany, seorang penasihat kepada Menteri Perlombongan Afghanistan.

Mineral lain yang banyak ditemui ialah emas di kawasan Pashtun, di selatan Afghanistan.

Kekayaan yang baru ditemui itu dijangka menyebabkan persaingan lebih sengit di antara China, India dan malah Russia, untuk memainkan peranan lebih besar untuk mengeksploit sumber-sumber asli ini.

Sebelum ini, dua syarikat China telah memberi komitmen untuk membuat pelaburan bernilai AS$4 bilion di lombong tembaga di daerah Aynak, ke selatan Kabul.

Satu lagi kontrak besar bernilai AS$1.8 bilion untuk melombong bijih besi berkualiti tinggi di kawasan pergunungan Hajigak dijangka dibuka untuk bidaan antarabangsa tahun ini.

Syarikat-syarikat dari India dan China dilaporkan berminat untuk mendapatkan kontrak itu.

Afghanistan dikatakan mempunyai jumlah besi belum dilombong yang terbesar di Asia. -- AFP, AP, Reuters.





No comments:

Posting Terkini