Pages

Saturday, May 22, 2010

Sekilas Berita Dunia

Musharraf berhasrat sertai kembali politik Pakistan

ISLAMABAD: Mantan presiden Pakistan, Jeneral Pervez Musharraf, berkata beliau mahu pulang ke negara itu untuk menyertai politik, mungkin untuk menjadi presiden atau perdana menteri, lapor CNN.

'Saya bercadang untuk pulang ke Pakistan dan menyertai politik. Sama ada saya bertanding bagi jawatan presiden atau perdana menteri akan diputuskan kemudian,' kata Jeneral Musharraf.

Jeneral Musharraf, yang merampas kuasa pada 1999 dan meletak jawatan sebagai presiden pada 2008, meninggalkan Pakistan setahun lalu dan menetap di Britain dan Amerika Syarikat. -- Reuters.

Bangkai pesawat terhempas ditemui, tiada yang selamat

KABUL: Pasukan penyelamat tiba di pergunungan di utara Kabul, Afghanistan, tempat pesawat Pamir Airways terhempas minggu ini, tetapi tidak menemui sebarang penumpang yang terselamat, kata Menteri Penerbangan Encik Mohammadullah Batash.

Pesawat Antonov-24 itu hilang Isnin lalu semasa dalam penerbangan dari Kunduz ke Kabul. Bangkai pesawat dikesan kelmarin oleh pesawat peninjau di sebuah gunung setinggi 4,100 meter di daerah Shakar Darah, ke utara Kabul. -- AP.

Ketua agensi risikan AS letak jawatan dek dua serangan

WASHINGTON: Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat, Encik Dennis Blair, akan meletak jawatan menyusuli dua serangan yang meningkatkan kecaman hebat daripada Parti Republikan.

Dalam satu kenyataan Encik Blair berkata beliau telah mengemukakan perletakan jawatan kepada Presiden Barack Obama kelmarin yang akan berkuatkuasa pada 28 Mei ini.

Seorang pegawai berkata pentadbiran Obama sedang mencari pengganti yang sesuai, tetapi sehingga itu waktu, Encik James Clapper, setiausaha rendah perisikan di Jabatan Pertahanan, akan memangku jawatan tersebut. -- AFP, Bloomberg.

Israel lancar serangan udara untuk balas roket militan

GAZA: Tentera Israel kelmarin melancarkan serangan udara ke atas Jaluran Gaza, sebagai tindak balas terhadap serangan roket militan ke atas bandar Ashkelon, di selatan Tel Aviv.

Namun tiga serangan udara Israel ke atas sasaran di utara dan selatan Jaluran Gaza tidak menyebabkan sebarang korban jiwa atau kecederaan.

Kumpulan Ansar al-Sunna mengaku melancar serangan roket ke atas Israel. Tetapi serangan itu juga tidak menyebabkan sebarang kecederaan, kata seorang jurucakap Israel. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini