Pages

Saturday, May 22, 2010

PASCA PILIHAN RAYA FILIPINA: Runtuhnya dinasti Ampatuan

MANILA: Enam bulan selepas dikaitkan dengan pembunuhan beramairamai membabitkan seteru politik serta wartawan, penguasaan keluarga Ampatuan di wilayah Maguindanao pun berakhir hasil pemilihan penduduk di situ minggu lalu.

Dalam pemilihan gabenor bagi Maguindanao, musuh keluarga Ampatuan - Encik Esmael Mangudadatu - diisytihar sebagai pemenang rasmi pada Jumaat lalu.

Ia memang kemenangan amat manis bagi Encik Esmael.

Dalam keganasan yang didalangi keluarga Ampatuan pada 23 November tahun lalu, isteri dan dua adik-beradiknya adalah antara 57 jiwa yang terkorban ketika mereka dalam perjalanan menghantar pencalonan bagi pilihan raya gabenor di ibu negeri Maguindanao.

'Ia memang menyakitkan, tapi saya berasa gembira kerana impian akhirnya tercapai dan berharap keadaan akan berubah,' kata Encik Esmael kepada media selepas pengumuman kemenangannya.

Bagi Encik Esmael, 41 tahun, kejayaannya mengatasi pencabar kali ini bermakna rakyat di kawasan berkenaan menolak kejahatan, sekali gus memilih untuk bebas daripada ketakutan.

Namun, beliau menegaskan tidak akan mengambil sebarang tindakan balas dendam ke atas ahli keluarga Ampatuan.

'Tak ada dendam di hati saya,' katanya.

Kenyataan terbuka Encik Esmael itu diterima pihak keselamatan dengan sikap berhati-hati.

Pada masa yang sama, menurut seorang pegawai perisikan Filipina, ahli keluarga Ampatuan mula berpindah dari Maguindanao.

'Dua keluarga itu memang mempunyai rangkaian perselisihan berdarah yang panjang.

'Keluarga Esmael hanya menunggu masa untuk membalas dendam,' katanya.

Mengikut sejarah, antara keturunan Esmael dengan Ampatuan, mereka memang saling bercakaran sejak ratusan tahun lampau untuk menguasai wilayah berkenaan.

Walaupun tewas, puak Ampatuan masih menjadi sasaran kemarahan banyak pihak kerana dipercayai menyelewengkan puluhan juta ringgit sepanjang tempoh 10 tahun terakhir mereka mentadbir Maguindanao.

Pada masa yang sama, menurut kumpulan pemantau perselisihan Kumpulan Krisis Antarabangsa, mereka juga masih memiliki ratusan tentera persendirian.

Bukan hanya orang awam, tentera juga sentiasa berhati-hati terhadap keluarga Ampatuan.

Jurucakap tentera di selatan Filipina, Kolonel Benjie Hao, berkata kemenangan Encik Esmael dan janjinya diharap membuka lembaran baru dalam politik di rantau itu.

'Tapi, daripada aspek lain, mereka (pengikut Ampatuan) masih menjadi ancaman.

'Perbezaan kini daripada yang dulu hanyalah tentera boleh mengawal pergerakan mereka dan kami semakin memberi perhatian terhadap militia berkenaan.

'Kini, mereka masih berbahaya dan belum mengalah,' katanya.

Sebelum ini, Maguindanao diperintah keluarga puak Ampatuan dan mereka mendapat sokongan daripada Presiden Gloria Arroyo serta pemerintah.

Sikap Manila itu membolehkan mereka menubuhkan tentera peribadi dan bertindak sebagai kuasa tambahan dalam membantu pemerintah menghadapi kumpulan pejuang Islam di selatan negara itu.

Seorang daripada pemimpin keluarga terbabit, Andal Ampatuan Senior, membahagikan Maguindanao kepada 36 bandar kecil sebelum melantik kroninya - terdiri daripada ahli keluarga terdekat - sebagai datuk bandar atau ahli majlis perbandaran.

Untuk menjamin kekal berkuasa, keluarga Ampatuan menindas mana-mana pihak yang cuba bangkit mencabar kuasa mereka dengan mengarahkan militia agar mengganas.

Sesetengah pihak mendakwa kumpulan bersenjata itu bertanggungjawab melakukan ratusan pembunuhan atau serangan rambang.

Ada pelbagai cerita menggambarkan kekejaman yang dilakukan, termasuk pembakaran seluruh kampung puak yang tidak disenangi.

Keangkuhan Ampatuan berakhir selepas insiden pada November tahun lalu itu.

Daripada 57 yang maut, 31 adalah wartawan yang menyertai rombongan keluarga Encik Esmael.

Anak kesayangan, Andal, didakwa mengetuai lebih 100 militia menyerang rombongan itu, sebelum menanam mayat mangsa untuk mengelak kejahatan mereka dihidu pihak lain.

Jengkaut pemerintah digunakan untuk menggali lubang bagi menimbus semua mayat tersebut.

Enam ahli keluarga Ampatuan - termasuk pasangan anak beranak - adalah sebahagian daripada 197 individu yang dituduh melakukan pembunuhan berkenaan.

Walaupun ditahan dan didakwa di mahkamah, Andal tetap bertanding bagi merebut kerusi penolong gabenor.

Cuma, kali ini dia tewas.

Ada banyak faktor menyumbang kepada keruntuhan dinasti Ampatuan.

Dengan pemimpin mereka meringkuk dalam penjara dan larangan pemerintah menggunakan militia sendiri, puak terbabit tidak lagi mampu menakut-nakutkan pengundi seperti dilakukan berkali-kali sebelum ini.

Pelaksanaan pengundian automatik juga merencatkan impian keluarga Ampatuan untuk terus berkuasa kerana ia menyukarkan sebarang usaha memanipulasi undi.

'Rakyat di Maguindanao mahukan perubahan dan mereka mengundi tokoh yang dianggap mampu membawa kesejahteraan.

'Mereka tidak dipaksa memilih Esmael,' kata seorang sukarelawan pilihan raya, Encik Jokra Maulang, 54 tahun, di bandar Shariff Aguak, minggu lalu. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini