Pages

Thursday, May 27, 2010

NY sokong rancangan bina masjid dekat tapak serangan 9/11

NEW YORK: Selepas perdebatan awam yang hangat, sebuah lembaga masyarakat kota raya New York kelmarin menyokong satu rancangan hendak membina sebuah masjid dan pusat budaya dekat Ground Zero.

'Ia benih bagi keamanan,' kata anggota Lembaga Masyarakat Manhattan (MCB1), Encik Rob Townley.

'Kami yakin ia satu langkah penting bagi masyarakat Islam dalam menentang kebencian dan sikap fanatik golongan minoriti dalam masyarakat mereka,' tegas beliau.

Rancangan membina projek bernilai AS$100 juta ($140 juta) yang dipanggil Cordoba House itu disokong oleh 29 undi memihak, satu menentang, dan 10 tidak mengundi.

Keputusan MCB1 itu tidak mengikat tetapi ia dianggap kunci utama bagi mendapatkan sokongan penduduk apabila Suruhanjaya Pemuliharaan Mercutanda meneliti perkara itu musim panas ini.

Sesetengah anggota mahu pengundian ditangguhkan sehingga mesyuarat akan datang bagi mengumpul lebih banyak maklumat mengenai projek dan pertubuhan yang menajanya. Tetapi usul itu gagal.

Mesyuarat kelmarin kecoh. Penentang projek mengejek pemidato dan memekik: 'Anda membina (masjid) di atas pusara orang Kristian!' sambil menjulang pelekat berbunyi 'Hormati 3,000 korban,' merujuk mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas pada 11 September 2001 yang merobohkan menara kembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Para penyokong berkata masjid itu akan menjadi jambatan dan pencetus dialog antara agama.

Ramai peserta berkata mereka tidak menentang pembinaan sebuah masjid - tetapi ia tidak seharusnya terlalu dekat dengan Ground Zero.

Keluarga mangsa 11 September 'akan berasa tersinggung dengan pembinaan sebuah masjid mega begitu dekat dengan tempat orang kesayangan terkorban,' kata seorang penduduk, Cik Viviana Hernandez.

Seorang aktivis pergerakan Tea Party, Encik Mark Williams, menyifatkan pembinaan Cordoba House itu sebagai tugu serangan pengganas.

Sebelum mesyuarat berlangsung, pemimpin Islam di belakang projek tersebut, Imam Feisal Abdul Rauf, mendedahkan beliau bercadang membina tugu peringatan bagi mangsa serangan 11 September 2001.

Masjid itu cuma satu unsur dalam 'pusat masyarakat' yang beliau harap dapat 'memulihkan hubungan antara Amerika dengan Dunia Islam'.

'Kami mengutuk pengganas. Kami sedar ia wujud dalam masyarakat kami, tetapi kami bertekad untuk membasminya,' tegas Imam Feisal.

Projek Cordoba House dijangka menempatkan sebuah pusat persembahan kesenian, kolam renang, sekolah masak, kemudahan kanak-kanak dan ruang solat.

Ia dijangka mewujudkan 150 pekerjaan tetap, 500 pekerjaan sambilan dan pelaburan dalam bidang prasarana, kata jurucakap Cordoba House, Cik Daisy Khan, isteri Imam Feisal. -- Agensi.





No comments:

Posting Terkini