Pages

Thursday, May 27, 2010

Makkah uji sistem kereta api elektrik dua bulan lagi

MAKKAH: Landasan dan kereta api elektrik bandar ini akan diuji dalam tempoh dua bulan lagi.

Timbalan Menteri Perbandaran dan Hal Ehwal Bandar, Encik Habeeb Al-Abideen, berkata ujian pertama akan diadakan di Padang Arafah.

'Bekalan elektrik akan disambungkan ke dua stesen itu dalam beberapa minggu lagi.

'Bagaimanapun, pada masa ini, infrastruktur asas bagi landasan sepanjang 18 kilometer sudah siap dibina.

'Kereta api laju ini melalui bahagian tengah jalan raya. Landasan tidak mengganggu zon khemah jemaah haji sedia ada dan rekaan turut mengambil kira peningkatan jumlah jemaah di masa akan datang,' katanya.

Kereta api itu mampu membawa 70,000 penumpang setiap jam dengan kelajuan antara 50 hingga 70 kilometer sejam.

Sepuluh daripada 30 kereta api yang membawa 12 gerabak setiap satu tiba di Makkah Ahad lalu dan bakinya dijangka tiba beberapa hari lagi.

'Kereta api ini dilengkapi segala keperluan jemaah haji dan juga warga emas. Stesen pula dilengkapi tangga elektrik dan lif besar bagi memudahkan perjalanan penumpang,' kata Encik Habeeb.

Syarikat China yang bertanggungjawab membina landasan itu akan membawa masuk 6,000 pekerja lagi dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi memastikan projek disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Keseluruhannya, dengan tambahan 6,000 pekerja itu, 14,000 pekerja terbabit dalam pembinaan projek landasan kereta api itu.

Di bawah projek itu, landasan baru itu akan turut menghubungkan kota suci Makkah dengan Mina, Arafat dan Muzdalifah.

Arab Saudi juga merancang membina laluan tren laju di antara Makkah dengan Madinah bagi kemudahan jemaah.

Jarak 280 kilometer di antara dua kota itu boleh direntasi dalam masa 30 minit.

Lazimnya perjalanan di jalan raya antara dua tempat itu makan masa dari empat hingga lima jam.

Projek itu diumumkan ketika kunjungan tiga hari Presiden China, Encik Hu Jintao, ke Arab Saudi pada awal tahun lalu.

China kian menjadi kontraktor projek prasarana Arab Saudi yang bernilai AS$450 bilion ($635 bilion)

Arab Saudi pula kian menjadi pengeksport penting minyak ke China. -- Agensi.





No comments:

Posting Terkini