CANBERRA: Australia semalam mengarahkan seorang diplomat Israel diusir dari negara itu selepas para penyiasat memutuskan bahawa Israel bertanggungjawab memalsukan empat pasport Australia yang digunakan dalam kejadian membunuh seorang anggota Hamas di Dubai.
Reaksi Australia itu mencontohi tindakan kerajaan Britain pada Mac lalu yang mengusir seorang diplomat sebagai reaksi kepada penggunaan 12 pasport palsu Britain dalam satu rancangan untuk membunuh pegawai Hamas, Mahmoud al-Mabhouh.
Pihak berkuasa Dubai menuduh agensi khidmat risikan Israel, Mossad, bertanggungjawab dalam pembunuhan yang berlaku pada Januari lalu itu.
Pemerintah-pemerintah Ireland, Jerman dan Perancis masih belum menyatakan bagaimana mereka akan memberikan reaksi terhadap kes-kes sama yang melibatkan pemalsuan identiti terhadap warga negaranya, seperti yang didedahkan dalam siasatan itu.
Australia belum pernah mengusir seorang diplomat asing sejak 2004.
Menteri Luar Australia, Encik Stephen Smith, memberitahu parlimen bahawa kes membunuh Encik al-Mabhouh di hotel Dubai itu bukanlah kali pertama Isreal membuat pemalsuan dokumen perjalanan Australia.
Beliau tidak memberikan penjelasan mengenai peristiwa sebelumnya tetapi berkata kesalahan terbaru itu telah memungkiri 'perjanjian sulit' antara keduadua negara, yang telah berjalan bertahuntahun.
'Ini bukannya tindakan seorang rakan,' kata beliau.
'Ini bukan apa yang kami jangkakan daripada sebuah negara yang mempunyai hubungan rapat, ramah dan saling menyokong dengan kami,' tambahnya.
Encik Smith berkata Israel telah diminta supaya menarik balik seorang diplomatnya, yang tidak dikenal pasti beliau, dalam masa seminggu.
Penyingkiran itu adalah untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.
Stesen-stesen radio melaporkan bahawa para diplomat asing yang diusir keluar dari Australia dan Britain itu adalah wakil-wakil Mossad.
'Kami kesali keputusan pemerintah Australia itu,' kata Menteri Luar Israel, Encik Yigal Palmor, kepada agensi berita The Associated Press sambil menambah bahawa ia tidak sejajar dengan mutu hubungan antara kedua-dua negara itu.
Duta Besar Israel ke Australia, Encik Yuval Rotem, tidak ada di negara itu hingga awal bulan depan. -- AP.
Tuesday, May 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment