Pages

Tuesday, May 25, 2010

Pemimpin pembangkang Thailand mahu dakwa Abhisit

BANGKOK: Para pemimpin pembangkang Thailand ingin mengambil tindakan mendakwa Perdana Menterinya, Encik Abhisit Vejjajiva, atas cara beliau menangani peristiwa merusuh dan keganasan di Bangkok, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 88 jiwa dalam pertempuran antara pembantah dengan tentera Thai sepanjang dua bulan lalu.

Langkah itu dijangka mudah ditolak dalam Parlimen Thai, menjadikannya hanya satu simbol, sedang Bangkok mengambil langkah memulihkan keadaan ibu kota negara itu seperti sedia kala.

Sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat mula dibuka buat kali pertama selepas diberi tempoh cuti selama seminggu.

Usaha pembersihan beberapa kawasan ibu kota yang dikepung pembantah 'Baju Merah' atau dibakar semasa rusuhan giat dijalankan.

Jurucakap pembangkang, Encik Wittaya Buranasiri, berkata saranan untuk mendakwa Encik Abhisit itu diperkenalkan Parti Pheu Thai (PTP) - sekutu bekas perdana menteri Thai yang digulingkan, Encik Thaksin Shinawatra, yang umumnya disokong para pembantah Baju Merah.

Ia juga mahu mengecam beberapa anggota kabinet tertinggi beliau.

Para anggota PTP menyerahkan langkah mendakwa perdana menteri Thai itu kepada Speaker Senat, Encik Prasopsuk Boondet.

Mereka mendakwa Encik Abhisit dan timbalannya menyalahgunakan kuasa masing-masing.

Saranan itu menunjukkan semakin meruncingnya rekahan politik dan sosial yang dihadapi Thailand sejak pembantah Baju Merah masuk ke Bangkok Mac lalu dan memulakan bantahan supaya Encik Abisit meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya kilat.

Bantahan itu telah melumpuhkan kawasan utama perniagaan dan pelancongan di Bangkok.

Sementara itu pihak berkuasa Thai telah meminta kerajaan negara itu agar melanjutkan perintah berkurung di Bangkok dan 23 daerah lain, kata seorang pegawai tentera semalam.

Jurucakap tentera, Kolonel Sunsern Kaewkumnerd, berkata: 'Masih ada beberapa pergolakan di sana sini. Perintah berkurung akan memudahkan kerja pihak berkuasa,' kata Kolonel Sunsern. -- AP, AFP.



No comments:

Posting Terkini