Pages

Wednesday, April 14, 2010

MIC adakan mesyuarat tergempar

KUALA LUMPUR, 14 April — MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat (CWC) malam ini ketika muncul desas-desus calon disyorkannya tidak akan dipilih bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu - sehari sebelum BN dijadual mengumumkan calonnya.

“MIC adakan mesyuarat khas CWC pukul 10 malam ini... isunya berkaitan dengan soal calon,” kata pemimpin kanan MIC kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.

Ini kali pertama dalam sejarah MIC mesyuarat tergempar CWC diadakan untuk menyatakan pendirian berhubung calon pilihan parti itu khususnya ketika pilihan raya kecil.

Keputusan untuk mengadakan mesyuarat ini diputuskan hari ini.

Sejak pagi tadi MIC Selangor dan salah satu bahagian dalam negeri itu iaitu Hulu Selangor mengadakan sidang media berasingan melahirkan protes ekoran spekulasi bahawa calon yang dinamakan MIC iaitu Timbalan Presidennya Datuk G. Palanivel kemungkinan tidak akan dipilih lagi.

Palanivel merupakan ketua MIC Selangor dan Hulu Selangor.

MIC Selangor telah mendakwa Umno bercampur tangan dalam proses menentukan calonnya walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mengumumkan Hulu Selangor adalah kerusinya.

Pucuk kepimpinan BN dikatakan menerima sekurang-kurangnya dua nama iaitu Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan dan Ketua Penerangan MIC pusat P. Kamalanathan.

Nama-nama itu diserahkan oleh saluran Umno tetapi ia dikatakan telah menyinggung kepimpinan MIC.

Difahamkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mengadakan pertemuan berasingan dengan Samy Vellu dan Mugilan petang tadi tetapi tiada pengesahan rasmi mengenai perkembangan tersebut.

Sumber juga mempersoalkan jika Palanivel, nama tunggal dikemukakan diterima BN, tidak perlu diadakan mesyuarat tergempar malam ini.

MIC sebenarnya telah mengatur mesyuarat CWC bulan April esok tetapi dibatalkan disebabkan hari pengumuman calon BN esok.

Dan, hari ini ia akan mengadakan mesyuarat tergempar.

Muhyiddin diberi kepercayaan untuk mengumumkan calon BN esok.

No comments:

Posting Terkini