WASHINGTON: China bersetuju untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat bagi mengenakan sekatan ke atas Iran bagi mendesak negara itu melupuskan program nuklearnya.
Ukraine pula mengumumkan akan melupuskan bekalan uranium yang telah diperkayakan bagi tujuan menghasilkan senjata nuklear menjelang 2012.
Pengumuman itu dibuat sedang sidang puncak 47 negara di sini yang bertujuan mencegah keganasan dengan senjata nuklear dirasmikan malam kelmarin.
Isu mengenai sekatan ke atas Iran merupakan topik utama pertemuan selama 90 minit antara Presiden Amerika, Encik Barack Obama, dengan Presiden China, Encik Hu Jintao.
Di akhir pertemuan itu, penasihat kesihatan nasional Rumah Putih, Encik Jeff Bader, berkata program nuklear Iran merupakan topik utama perbincangan kedua-dua pemimpin itu.
'Mereka (China) bersedia bekerja dengan kami,' kata Encik Bader.
Ditanya sama ada China memberi komitmen khusus mengenai jenis sekatan yang dipersetujui, Encik Bader bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincangkan lagi pada masa depan.
Namun, jurucakap China, Encik Ma Zhaoxu, berkata China berharap semua pihak meningkatkan usaha diplomatik dan mencari jalan bagi menghuraikan isu nuklear Iran melalui rundingan.
'China dan Amerika Syarikat berkongsi matlamat yang sama berkaitan isu nuklear Iran,' katanya.
Sebelum ini, Encik Obama sedang berusaha mengenakan sekatan pusingan keempat ke atas Iran.
Amerika sudah pun mendapat sokongan daripada anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lain iaitu Britain, Perancis dan Jerman.
Russia juga telah menunjukkan kesediaan menyertai usaha mengenakan sekatan tambahan itu.
Encik Obama telah menetapkan matlamat bagi memperkenalkan sekatan itu pada musim panas ini.
Sehubungan dengan itu, Brazil dan Turkey, yang memegang kerusi bukan tetap dalam Majlis Keselamatan PBB, berkata mereka sedang meninjau saranan alternatif dalam usaha menangani isu nuklear Iran.
Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayiip Erdogan, dan Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, telah membincangkan usaha melakarkan strategi berbeza selain daripada sekatan dalam pertemuan mereka kelmarin. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment