KUALA LUMPUR, 14 April — Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan cekera padat (CD) yang didakwa mengandungi cubaan rampasan kuasa terhadap kedudukan dan jawatan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra Tengku Merjan membuat laporan itu di Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Antara lain, Tengku Merjan dalam laporannya menyatakan beliau telah mendapat satu salinan CD perbincangan tertutup antara Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam Datuk Sukri Mohamed yang menunjukkan terdapat satu perancangan untuk menghasut, mengugat serta mencampuri urusan Istana Kelantan. Tengku Merjan dalam kenyataannya berkata perjumpaan sulit dan tertutup antara Halim dan Sukri di sebuah hotel di Kota Baharu adalah berniat jahat dengan tujuan menghasut wartawan dan masyarakat untuk menghina Sultan Kelantan.
Mereka katanya telah membocorkan maklumat sulit mengenai kesihatan Sultan Kelantan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran empunya diri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan kredebiliti Tuanku Sultan.
Tengku Merjan berkata mereka juga telah memberi fakta yang salah mengenai kesihatan Tuanku Sultan Kelantan dan mencampuri urusan peribadi Tuanku dengan membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi masyarakat berhubung penceraian Tuanku Sultan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan tersebut. Katanya, beliau akan menghantar laporan itu kepada IPD Kota Baharu kerana kes tersebut berlaku di Kota Baharu. — Bernama
Wednesday, April 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment