TAMBUNAN: Perkembangan kehidupan moden hari ini memperlihatkan generasi muda lebih banyak menghabiskan masa di depan televisyen dan juga komputer sehingga mengakibatkan mereka leka dan tidak mengambil tahu tentang identiti serta kebudayaan mereka.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, berbeza dengan zaman 50an dan 60an, pesta Kaamatan begitu dekat kepada semua masyarakat Kadazandusun terutamanya golongan muda.
“Namun berbeza pada hari ini, generasi muda semakin kurang mengambil tahu mengenai latar belakang kebudayaan mereka.
“Ini kerana mereka mempunyai dunia dan aktiviti sendiri sehingga ada kalanya mengakibatkan hubungan diantara ibubapa dan anak tidak sebegitu rapat jika dibandingkan dengan kehidupan keluarga zaman dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Mukim Toboh, Tambunan, dekat sini, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Presiden KDCA Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden SAFA Datuk Lawrance Gimbang, Pengerusi Penyelaras KDCA Tambunan dan Daniel Kinsik Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Welfredoline Jakil, Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor, Jurutera JKR Daerah, Petrocelli Joseph, Penolong Pegawai Daerah, Thomas Logijin, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Laiwon Dalus, dan pengerusi penganjur bersama, OKK Augustine Badi Kandawai dan Robert Yandiu.
Pairin berkata, pada zaman dahulu, sebelum kewujudan televisyen, komputer dan sebagainya ibubapa dan anak-anak begitu rapat dan lebih banyak masa diluangkan bersama khususnya pada waktu malam yang mana sebelum tidur biasanya ibubapa akan ‘manangon’ (bercerita) kepada anak-anak.
‘Tangon-tangon’ bukan sekadar cerita yang menghiburkan tetapi merupakan satu bentuk pendidikan tidak formal kerana dalam tangon tersebut terkandung segala kepandaian, kemahiran, kebudayaan, adat resam serta pantang larang masyarakat Kadazandusun.
“Selain itu, ia juga mampu merapatkan hubungan diantara anak dan ibubapa. Bagaimanapun hari ini, budaya tangon-tangon ini semakin dilupakan,” katanya.
Beliau berkata, atas sebab itu, ramai antara generasi muda kini kurang memahami budaya dan adat resam mereka. “Sebagai contoh sudah ramai orang tidak mengetahui kegunaan rotan yang sebenarnya boleh ditonjolkan dalam pelbagai bentuk seperti seni bina dan tidak tertumpu kepada pembuatan kraftangan sahaja.
“Apa juga kemahiran yang kita warisi daripada nenek moyang perlu diperturunkan kepada generasi muda kerana semua ini boleh kita pertunjukkan kepada pelancong-pelancong yang datang khususnya pada musim perayaan pesta kaamatan,” katanya.
Salain itu katanya, semakin sedikit masyarakat Kadazandusun pada hari ini yang memakai pakaian tradisi meskipun pada musim perayaan.
“Pakaian tradisi haruslah menjadi kebanggaan dan pergunakan musim perayaan seumpama ini untuk menunjukkan kecantikan pakaian tradisi kita kepada pelancong,” katanya.
Justeru itu Pairin berkata, semua pihak harus mengambil inisiatif mendidik anak-anak dengan tradisi serta kebudayaan suku kaum masing-masing agar tidak pupus ditelan zaman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment