Pages

Saturday, April 17, 2010

AP rancang saman Mufti Perak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Encik Khalid Abdul Samad, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, kerana mendakwanya tidak beriman seperti yang disiarkan akhbar tabloid Selangor Kita bulan lalu.

Beliau berkata, berikutan laporan dan kenyataan Dr Harussani yang tidak berasas itu, ia telah memberi kesan dari segi persepsi masyarakat ke atas dirinya dan keluarga.

'Saya memberi tempoh seminggu kepada Harussani untuk menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam akhbar tabloid Selangor Kita, edisi Mac 2010.

'Jika beliau tidak menarik balik kenyataan yang mendakwa saya tidak beriman itu, saya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau,' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, kelmarin.

Menurut Encik Khalid, kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan oleh seorang mufti kerana ia dibuat tanpa mendapatkan penjelasannya terlebih dahulu.

'Harussani tidak mendapatkan penjelasan daripada saya berhubung kenyataan saya sebelum ini mengenai isu enakmen undang-undang Islam Negeri Selangor.

'Beliau seolah-olah membuat fatwa berdasarkan laporan akhbar dan khabar angin. Apa yang saya katakan ialah kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor adalah satu peraturan, ia bukan ditetapkan Al-Quran, sebab itu saya cakap ia boleh ditegur dan dipinda,' katanya. -- Utusan Malaysia.


No comments:

Posting Terkini