Pages

Monday, April 19, 2010

Sekilas Dunia

Mula tahap akhir perjalanan epik

WELLINGTON: Pengembara Britain, Roz Savage, akan bertolak hari ini dari sebuah negara pulau terpencil, Kiribati, bagi tahap akhir perjalanan epik beliau untuk menjadi wanita pertama berupaya mengayuh menyeberangi Lautan Pasifik.

Savage, 42 tahun, menulis dalam laman blognya semalam bahawa hanya hujan lebat yang boleh menjejas jadualnya berlepas ke Cairns, di pantai timur Australia, itu. -- AFP.

Buka lawatan ke tapak purba Iraq

NASIRIYAH (Iraq): Para pelancong asing tidak lama lagi akan dapat berkunjung ke sekitaran Mesopotamia sekali lagi selepas satu syarikat Perancis semalam menawarkan lawatan ke tapak-tapak purba di selatan Iraq, yang dibinasakan oleh perang.

'Kami menganjurkan lawatan pada 6-14 Jun ini ke wilayah Nasiriyah dan kami akan melakukannya secara tetap, setiap tiga minggu mulai September ini,' kata Encik Hubert Debbash, pemilik Terre Entiere, sebuah firma pengendali lawatan budaya dan agama. -- AFP.

Kawalan lebih ketat bagi IPL

NEW DELHI: Pihak penganjur Liga Perdana India (IPL) berikrar mengetatkan kawalan keselamatannya bagi tempoh baki pertandingan selepas dua bom meletup di stadium kriket di Bangalore yang mencederakan 14 orang dan menimbulkan panik di kalangan penonton sebelum perlawanan bermula.

Bagaimanapun, dua lagi letupan berlaku dekat stadium itu semalam dan pihak IPL telah mengeluarkan kenyataan bahawa dua perlawanan separuh akhirnya yang dijadualkan di Bangalore lusa dan Khamis ini akan dipindahkan ke Mumbai, yang akan turut menjadi hos kepada perlawanan akhirnya Ahad ini. -- AP.



No comments:

Posting Terkini