Pages

Friday, March 5, 2010

Taiwan pula digegar gempa

KILANG TERBAKAR: Anggota pasukan bomba memadamkan kebakaran di sebuah kilang tekstil di Tainan, sejurus selepas gempa bumi sekuat 6.4 pada Skala Richter melanda Taiwan, semalam. -- Foto AP

TAIPEI: Satu gempa bumi sekuat 6.4 pada Skala Richter menggegar Taiwan sekitar 8.18 pagi semalam. Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa tersebut menyebabkan penduduk ketakutan selepas bangunan bergoyang di ibu kota Taipei, bekalan elektrik terputus, komunikasi terganggu, perkhidmatan kereta api tergendala dan berlaku satu kebakaran besar.

Gegaran menyebabkan kerosakan di kejiranan Jiayi dan Tainan tetapi tiada korban jiwa dilaporkan. Laporan akhbar berkata 30 orang cedera tetapi pihak berkuasa berkata sejauh ini 12 orang cedera.

Gempa tersebut berpusat 70 kilometer dari bandar Kaohsiung, yang pernah mengalami kerosakan besar akibat serangan Taufan Morakot, yang mengorbankan 700 orang pada Ogos tahun lepas.

'Kami sedang memantau keadaan bagi memastikan kerosakan,' kata Presiden Taiwan, Encik Ma Ying-jeou, kepada pemberita semasa melawat bandar Tainan, di utara pusat gempa.

Seorang pegawai perbandaran Jiasian, di pusat gempa, berkata tiga kejadian tanah runtuh berskala kecil di sana menyebabkan rumah penduduk retak.

Media Taiwan menunjukkan sorotan tanah runtuh, jalan terperosok, keretakan bangunan sekolah, dan bekalan elektrik yang terputus, manakala ramai penumpang terkandas di stesen apabila perkhidmatan kereta api tergendala.

Pemerintah Taiwan telah mengerahkan pasukan tentera ke kawasan yang dilanda gempa membantu operasi menyelamat.

Gegaran turut dirasakan penduduk di tanah besar China, termasuk di Xiamen, Quanzhou dan Zhangzhou, kesemuanya di wilayah Fujian. Tetapi tiada kerosakan besar dilaporkan, kata agensi berita Xinhua.

Pelakon Taiwan, Encik Chu Chung-heng, berkata beliau dan beberapa penumpang menjadi cemas apabila tren laju yang mereka naiki terkeluar daripada landasan akibat gempa tersebut.

'Ramai orang dalam gerabak menjerit. Saya juga takut sehingga tak berkata apa-apa. Tren bergoncang kuat. Saya sangka ia akan terbalik,' kata beliau.

Perkhidmatan kereta api di selatan dan tengah Taiwan digantung, begitu juga kereta api bawah tanah di bandar Kaohsiung, bandar kedua terbesar di Taiwan, yang terletak 400 kilometer ke selatan Taipei.

Di Tainan, satu kebakaran berlaku di sebuah kilang tekstil sejurus selepas gempa bumi melanda, menyebabkan asap hitam berkepul ke udara.

Bekalan elektrik terputus di Taipei, manakala perkhidmatan telefon tergendala. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini