SEREMBAN: Penganggur yang dituduh membunuh empat ahli keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Januari lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, dia melakukan pembunuhan itu atas arahan 'suara dari langit'.
Rasidi Ismail, 32 tahun (kanan), membuat pendedahan itu selepas ditanya Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, mengapa dia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Terdahulu, Rasidi mengaku bersalah membunuh adiknya, Allahyarhamah Siti Khadijah, 22 tahun, di No 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, antara 7 dengan 11 pagi pada 5 Januari lalu.
Dia turut mengaku bersalah membunuh bapanya, Allahyarham Ismail Awang, 76 tahun; nenek, Allahyarhamah Sufiah Katas, 80 tahun; dan datuknya, Allahyarham Atan Daud, 87 tahun, di rumah tidak bernombor di kampung sama juga antara 7 dengan 11 pagi pada hari yang sama.
Selepas Rasidi mengaku bersalah dan faham terhadap keempat-empat tuduhan itu, Datuk Ahmad Nasfy menjelaskan hukuman bagi pengakuan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah gantung sampai mati dan mahkamah sudah pun melantik peguam bela, Encik Hanif Hassan, bagi mewakili tertuduh.
'Sekarang mahkamah mahu mengetahui mengapa kamu mengaku bersalah?' tanya Datuk Ahmad Nasfy.
Rasidi menjawab:
'Saya menerima arahan untuk melakukannya. Saya diarahkan oleh suara dari langit.'
Datuk Ahmad Nasfy berkata mahkamah boleh menggunakan Seksyen 342 (1) Kanun Acara Jenayah yang membolehkan majistret, hakim dan pendakwa raya memohon siasatan bagi menentukan sama ada tertuduh cukup sihat untuk dibicarakan.
Beliau juga meminta mahkamah mengarahkan penilaian psikiatri terhadap tertuduh. -- BHM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment